mutakhir

MSAM bermula hari ini

Perak menjadi tumpuan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Stadium Mini Tapah bermula 20 April hingga 28 April ini.

MSAM yang dianjurkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bertujuan merakyatkan pelaburan yang digandingkan bersama syarikat-syarikat kumpulannya sejak tahun 2000.

Program pendidikan pelaburan ini bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak petang ini. Majlis penutup dijadualkan pada 27 April, jam 4 petang yang akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pameran pelaburan cukup sinonim sebagai acara rasmi negara kali ini menampilkan 50 syarikat terdiri daripada syarikat Kumpulan PNB, badan kawal selia, agensi kerajaan, swasta dan negeri.

MSAM di Tapah adalah penganjuran ketiga bagi pusingan kedua yang melengkapkan penjelajahan pusingan pertama ke seluruh negara pada tahun 2013.

Sepanjang 16 tahun penganjuran, banyak manfaat yang diraih masyarakat pelbagai lapisan.

Dari tahun ke tahun penganjuran MSAM, didikan mengenai pulangan dan risiko berjaya memberi ilmu kepada masyarakat sehinggakan ramai yang mula melabur dan meningkatkan pelaburan masing-masing.

Hal ini MSAM beralih ke fasa baru untuk mendidik masyarakat membuat keputusan pelaburan dan bijak merancang kewangan.

Dana unit amanah PNB pada tahun 2000 berjumlah hampir 36 bilion unit terus meningkat saban tahun dan kini mencecah lebih 200 bilion unit antaranya membuktikan kejayaan MSAM.

Kejayaan ini bermula dengan penggemblengan dana pelaburan serendah RM10 daripada masyarakat Melayu terbanyak. Dengan pelaburan serendah itulah, PNB menguasai kepentingan dalam syarikat-syarikat gergasi negara dalam pelbagai sektor seperti Malayan Banking Berhad, Sime Darby Berhad, I&P Group Sdn Bhd, S P Setia Berhad, UMW Holdings Berhad dan banyak lagi yang dapat dilihat di MSAM.

MSAM 2016 menyediakan pelbagai program dan aktiviti selain pelbagai hadiah menarik antaranya, Ford Fiesta 1.0L Ecoboost, Toyota Vios 1.5 TRD Sportivo (AT), Perodua Axia Advance Version, sportsbike Yamaha R25, 10 motosikal dan pelbagai gajet serta barangan elektrik.

Jangan lepaskan peluang kunjungi MSAM setiap hari bermula 20 April hingga 28 April, jam 10 pagi hingga 10 malam (kecuali 28 April hingga 2 petang). Masuk adalah percuma.

Disiarkan pada: April 20, 2016 @ 6:38am
d