mutakhir

Nasihat buat wanita pecah amanah

Kuala Lumpur: Seorang pembantu tadbir di Jabatan Akauntan Negara dihukum penjara 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas mengaku salah atas 29 pertuduhan memalsukan dokumen cagaran berharga berjumlah hampir RM1juta, lapan tahun lalu.

Hakim Azman Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Rosinah Haron, 56, seorang ibu tunggal dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh jatuh hukum, semalam.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh membayar kos pendakwaan RM6,000, jika gagal berbuat demikian akan berdepan hukuman penjara enam bulan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Azman menasihati tertuduh supaya insaf dengan perbuatannya, mengambil iktibar dengan apa yang berlaku dan tidak mengulangi perbuatan itu pada masa depan.

Berdasarkan semua pertuduhan, tertuduh didakwa memalsukan dokumen berupa cagaran iaitu baucar bayaran RM918,811.25.

Kesalahan itu dilakukan di Jabatan Akauntan Negara Malaysia, Tingkat 42, Menara Maybank, dekat sini, antara 27 Ogos 2008 hingga 21 Disember 2010.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 467, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Rosinah yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan dia penanggung tunggal keluarganya dan perlu menjaga kedua ibu bapa yang uzur.

Disiarkan pada: April 20, 2016 @ 6:44am
d