mutakhir

Padah miliki barang kaitan pengganas

Kangar: Padah memiliki barangan mempunyai kaitan dan perlakuan perbuatan pengganas, seorang suri rumah dan peniaga barangan kanak-kanak didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap perbuatan yang didakwa dilakukan Mac lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Siti Nor Intan Shafinaz Johari, 27, dan Muhammad Saiful Hashim, 35, sebaik kertas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Izmi Ibrahim.

Siti Nor Intan Shafinaz yang berjubah dan berpurdah hitam serta kasut sukan dan Muhamad Saiful yang berpakaian kemeja-T hitam dan seluar jeans kelihatan tenang ketika berada dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Siti Nor Intan Shafinaz didakwa memiliki bahan yang mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas di Kampung Ujung Tanjung, Kuala Perlis, kira-kira jam 8.15 pagi, 22 Mac lalu.

Muhammad Saiful pula didakwa melakukan perbuatan sama di No 56, Jalan Sekolah Derma, Kangar, kira-kira jam 7.45 pagi, 22 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a), Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Muhammad Saiful turut berdepan dengan tuduhan kedua iaitu memiliki enam keping wang kertas RM10 palsu dengan niat menggunakannya sebagai wang tulen pada tarikh, masa dan tempat sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Disiarkan pada: April 20, 2016 @ 6:45am
d