mutakhir

500 jemaah solat sunat Istisqa'

Kuala Lumpur: Berikutan fenomena cuaca panas melampau melanda negara ketika ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyeru semua masjid menunaikan solat sunat Istisqa’ bagi memohon diturunkan hujan dan memulihkan keadaan cuaca seperti sedia kala.

Semalam, kira-kira 500 jemaah mengerjakan sunat muakkad dua rakaat itu di Masjid Negara, di sini, yang diimamkan oleh Imam Masjid Negara Khisamudin Ismail selepas solat Zuhur.

Sama seperti solat sunat hari raya Aidifitri dan Aidiladha, ia kemudian disusuli dengan khutbah khas antaranya mendoakan hujan membasahi tanah yang mula kekeringan terutama di Perlis.

Menurut Khisamudin, solat itu adalah sunnah Rasulullah ketika musim kemarau berpanjangan dan dituntut menunaikannya sama ada secara berjemaah atau bersendirian.

“Solat Istisqa’ ini adalah permohonan khusus kepada Allah dengan mengakui segala kelemahan diri atau bertaubat dan lebih afdal dilakukan selepas berpuasa selama empat hari berturut-turut.

“Ia boleh dilakukan berulang kali pada bila-bila masa tanpa sebarang halangan kecuali waktu yang diharamkan untuk solat sunat Mutlaq (solat yang dilakukan tanpa memerlukan sebab tertentu),” katanya.

Katanya, pihaknya akan melakukan solat sunat itu dari semasa ke semasa bergantung kepada arahan, keperluan dan situasi terkini.

Sementara itu, Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha meminta semua masjid utama di bawah kelolaan jabatan itu selain seluruh masjid dan surau Jumaat di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk menunaikan solat Istisqa’.

“Kerjasama daripada Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri di seluruh negara turut diharap bagi melakukan perkara sama untuk memohon keadaan cuaca kembali pulih antaranya mengelak berlaku kes strok haba dan penyusutan paras air di kebanyakan empangan,” katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2016 @ 7:19am
d