mutakhir

Terbang melekat ke dalam kereta

Bukit Mertajam: Terperosok selama 15 minit di cermin belakang kereta. Itu keadaan seorang warga emas berusia 71 tahun yang maut dalam kemalangan di Jalan Kulim, Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, tengah hari semalam.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, dua penunggang motosikal dalam perjalanan dari Bukit Mertajam menghala ke Kulim sebelum melalui jalan sempit dipenuhi deretan kedai makan berdekatan simpang Jalan Kilang Ubi.

Difahamkan, sebaik sampai di lokasi kejadian, motosikal warga emas itu dirempuh dari belakang oleh motosikal ditunggang lelaki berusia 23 tahun berkenaan menyebabkan mereka gagal mengawal kenderaan masing-masing.

“Motosikal ditunggang warga emas itu merempuh belakang sebuah Proton Wira yang diletakkan di bahu jalan menyebabkan dia terpelanting ke cermin belakang kereta itu hingga pecah.

“Mangsa tersangkut di atas but kereta manakala remaja berkenaan terbabas di tengah jalan.

“Orang ramai yang melihat kejadian khuatir mengalihkan mangsa berikutan keadaannya yang parah sebelum menghubungi bomba dan ambulans,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam Mahadi Alwi berkata, pihaknya memberi bantuan kecemasan kepada mangsa sebelum kedua-duanya dihantar ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) dengan ambulans.

Katanya, warga emas itu meninggal dunia di HBM.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: April 21, 2016 @ 6:38am
d