mutakhir

Kedai nasi dagang meletup, terbakar

Sepang: “Saya cuba menghidupkan api di dapur menggunakan kertas, namun tidak semena-mena ia menyambar ke tong gas,” kata tukang masak, Abdul Rahman Semail, 60, ketika menceritakan detik cemas kedai makan tempatnya bekerja hangus terbakar.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi semalam di kedai makan nasi dagang di Kampung Dato Abu Bakar Baginda berhampiran simpang masuk ke Putrajaya.

Abdul Rahman berkata, sebaik api menyambar tong gas, dia cuba mencabut bahagian kepala gas, namun tidak berjaya.

“Saya terus menendang tong gas berkenaan serta lari keluar dari kedai dan memaklumkan orang lain termasuk pemilik kedai mengenai kejadian itu.

“Kemudian, mereka menghubungi bomba mengenai kebakaran itu malah, kami terdengar bunyi letupan beberapa kali termasuk percikan api terkena pada wayar elektrik,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pemilik kedai, Mansor Md Salleh, 63, berkata, kejadian itu menyebabkan dia kerugian RM70,000 kerana semua barangan untuk perniagaan musnah terbakar.

Disiarkan pada: April 21, 2016 @ 6:40am
d