mutakhir

Pecah kod 'satu cawan'

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kajang: Guna kod rahsia ‘satu cawan’ untuk membuat tempahan dadah melalui media sosial. Itu antara taktik jual beli dadah licik didalangi seorang remaja berusia 19 tahun.

Suspek yang dikesan berjaya menarik lebih 200 pelanggan mendapatkan bekalan dadah menggunakan kaedah pemasaran itu.

Difahamkan tiada sebarang gambar dadah dipaparkan melalui laman media sosial itu, namun pelanggan boleh memesan menggunakan bahasa dan kod yang hanya difahami mereka sahaja.

Bagaimanapun, hasil risikan sepasukan polis dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang diketuai Asisten Superintendan Mukhlis Abdullah menahan lapan individu termasuk seorang lelaki warga Nepal dalam serbuan berasingan bermula 19 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, lebih 4 kilogram dadah disyaki ganja bernilai lebih RM45,000 dirampas.

“Semua suspek berusia lingkungan antara 19 dan 24 tahun ditahan di beberapa kawasan termasuk Taman Jasmin, Sungai Jelok, Bandar Baru Bangi, Villa Tropika dan Sungai Ramal di sini,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas tiga kenderaan termasuk Mini Cooper milik dalang utama selain sebuah kereta Proton Iswara dan Perodua Myvi.

Menurut Othman, dalam tangkapan pertama, polis menahan dua lelaki di tepi Jalan 5, West Country, Bandar Baru Bangi.

“Hasil pemeriksaan, pihak polis menemui ganja diletakkan di alas kaki penumpang kereta Proton Iswara dinaiki suspek.

“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis ganja. Suspek turut memberitahu semua bekalan dadah diperoleh daripada seorang lelaki tempatan di Serdang untuk diedar di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata, penahanan dua lelaki terbabit kemudian membawa polis ke sebuah rumah di Seksyen 5, West Country, Bandar Baru Bangi.

“Pemeriksaan polis di dalam rumah itu menemui bekas plastik mengandungi ganja diletakkan dalam almari baju di tingkat atas rumah berkenaan.

“Pada jam 2.35 pagi hari sama, polis menahan dua lelaki termasuk seorang lelaki warga Nepal di hadapan sebuah sekolah di Taman Jasmin, Kajang,” katanya.

Othman berkata, pemeriksaan menemui ganja disorok di dalam baju dan kereta Perodua Viva dinaiki suspek.

Disiarkan pada: April 21, 2016 @ 6:41am
d