mutakhir

'Selamatkan' Puteri Gunung Ledang

Putrajaya: Kira-kira 40 pengamal media dari seluruh negara menyertai Johor Media Race 2016 anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta penggiat industri pelancongan bermula semalam hingga Sabtu ini.

Penganjuran acara itu satu daripada usaha Tourism Malaysia bagi mempromosi dan memperkenalkan produk serta pakej pelancongan di Johor kepada peserta dalam memperkasakan industri pelancongan di negeri itu.

Majlis pelepasan peserta diadakan di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di sini dan disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Dr Junaida Lee Abdullah.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Ab Ghafar A Tambi dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab.

Program berkonsepkan mencari harta karun dan menyelamatkan ‘Puteri Gunung Ledang’ memerlukan kekuatan fizikal dan mental semua peserta yang terdiri daripada petugas media, penulis blog dan penulis majalah percutian.

Melalui program ini, peserta dapat mengkaji dan menyelidik negeri berkenaan yang mempunyai pelbagai keistimewaan dan keunikan disediakan kepada pelancong sambil menikmati keindahan terdapat di Johor.

Disiarkan pada: April 21, 2016 @ 7:01am
d