mutakhir

Pelan pulih semangat pelajar

Kota Bharu: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menggerakkan pelan intervensi untuk memulihkan semangat pelajar beberapa sekolah di bandar ini yang diserang histeria sejak minggu lalu.

Timbalan Pengarahnya, Jaafar Ismail berkata, menerusi pelan itu, pelajar yang terjejas akan menjalani rawatan pemulihan dan kaunseling secara individu di Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Pengkalan Chepa.

Ia bagi mengelak pelajar terbabit berada di kawasan sekolah yang dipercayai lokasi kejadian histeria.

“Perkhidmatan ini disediakan di BTP, Pengkalan Chepa akan dikendalikan kaunselor sekolah yang ditugaskan secara bergilir dengan kerjasama pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

“Sekiranya terdapat pelajar yang dikenalpasti masih lemah dan mudah diserang histeria, kita akan bawa ke sana (BTP) untuk proses pemulihan,” katanya..

Beliau ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ahmad Maher, di sini selepas merasmikan program karnival sekolah itu, semalam.

Mengulas lanjut, Jaafar berkata, pelajar akan diberi rawatan dan kajian menumpukan kepada aspek kerohanian dan pemulihan jiwa oleh kaunselor dan pihak hospital.

Mengulas mengenai kes terbaru membabitkan murid tahun satu, Nuri Nadirah Ruslan, 7, yang meninggal dunia akibat dipatuk ular kelmarin, Jaafar berkata, semua sekolah di negeri ini diarahkan oleh jabatan agar meningkatkan kawalan keselamatan.

“Kita menggariskan 3K dalam Prosedur Standard Operasi (SOP) iaitu kawalan, keselamatan dan kebersihan yang sentiasa diamalkan.

“Cuma apabila berlaku kes itu yang juga kes pertama dan di luar jangkaan, usaha meningkatkan kawalan keselamatan semakin dipergiat,” katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2016 @ 7:18am
d