mutakhir

Bot pemintas aset baru ATM

Kuala Lumpur: Bot pemintas berkuasa tinggi. Itu antara aset terbaru dimiliki Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjaga kedaulatan perairan Pantai Timur Sabah daripada dicerobohi musuh.

Sebanyak 20 bot membabitkan dua model iaitu Viper dan Stingray akan ditempatkan melalui Operasi Pasir (Ops Pasir) di perairan Sabah dan berfungsi melakukan tugasan memintas bot dan kapal musuh.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, sebanyak 10 bot Viper dan 10 bot Stingray itu sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu dan turut berperanan menggantikan bot lama dimiliki ATM.

Beliau berkata, bot yang beroperasi secara sewa guna milik syarikat MRI Tech. (M) Sdn Bhd itu di tempatkan di kawasan Sandakan, Semporna dan Kudat Sabah.

“Bot ini sebagai ganti kepada bot lama kerana aset kita sebelum ini (bot) sudah tidak sesuai digunakan selain peningkatan kos selenggaraan. Bot baru ini boleh beroperasi hingga 19 unit dalam satu-satu masa operasi.

“Syarikat juga memberi jaminan apabila enjin bot diselenggara, bot baru berkenaan akan tetap beroperasi berikutan pihak syarikat menyediakan enjin simpanan,” katanya selepas majlis serah terima bot itu sempenan Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Beliau berkata, syarikat pembuatan bot itu juga turut membuka beberapa bengkel penyelenggaraan di Sabah bagi memastikan aset terbaru negara itu dapat beroperasi dengan lancar.

Zulkifeli optimis dengan penambahan bot pemintas itu bagi memastikan kedaulatan ruang perairan Sabah dapat dipertingkatkan daripada ancaman lanun dan kumpulan penceroboh.

“Saya yakin dengan kemampuan bot ini kerana ia mempunyai kelajuan 45 hingga 50 knot selain memiliki pusat graviti yang laju,” katanya.

Katanya, 20 bot itu menggunakan konsep GOCOM (kerajaan guna dan aset penyelenggaraan oleh syarikat) adengan nilai kontrak melebihi 20 juta.

Beliau berpendapat aset canggih seperti ini wajar diperluas di kawasan perairan negara yang lain selain sebagai penggantian bot ATM yang sudah lama.

Difahamkan bot pemintas Viper sepanjang sembilan meter dengan berat 1.3 tan itu mampu membuat pusingan 90 darjah dalam kelajuan tinggi.

Bot viper mampu memuatkan 10 individu dengan berat hingga 1500 kilogram dalam satu masa.

Ia turut dilengkapi radar berteknologi tinggi, sistem komunikasi dan ‘echo sounder’ bagi menjejaki musuh selain mampu digunakan di permukaan laut berombak kuat.

Sementara itu bot Stingray pula digunakan dalam penugasan memintas kapal musuh selain tugas logistik.

Disiarkan pada: April 21, 2016 @ 7:21am
d