mutakhir

Pondan 'hijabster'

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Kota Bharu: Pelbagai taktik dan cara digunakan golongan pondan negeri ini untuk mengaburi mata pihak berkuasa bagi meneruskan operasi pelacuran mereka di sekitar bandar ini.

Bagi mengelak identiti mereka terdedah, lima individu berperwatakan wanita itu mengubah penampilan mereka dengan mengenakan tudung untuk mencari pelanggan di sekitar Jalan Hamzah, di sini.

Mereka hanya mengenakan bayaran serendah RM50 kepada lelaki berhidung belang yang mahukan mereka temani hingga ke kamar tidur.

Taktik jijik itu bagaimanapun terbongkar dalam satu penyamaran yang dibuat dua anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) yang ‘melanggan’ dua pondan dengan bayaran RM50.

Penyamaran itu dilakukan dalam Ops Maksiat dan Hiburan yang bermula jam 8 malam kelmarin berakhir 2.30 pagi semalam.

Operasi bersepadu itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) membabitkan kira-kira 30 pegawai dan anggota.

Jurucakap MPKB-BRI berkata, pihaknya hampir ‘memancing’ golongan berkenaan namun, disedari beberapa pondan lain yang melarikan diri.

“Kami hampir menangkap mereka, namun disedari beberapa rakan individu itu yang curiga dengan anggota penguatkuasa.

“Operasi ini akan diteruskan sehingga kegiatan kumpulan itu berjaya dikekang kerana sering mendapat aduan orang ramai mengenai aktiviti tidak bermoral yang dilakukan,” katanya di sini, semalam.

Dalam pada itu, serbuan turut dilakukan di dua premis dekat Jalan Kebun Sultan dan Panji kerana menjalankan aktiviti karaoke secara haram dan penjualan shisha.

Pihaknya menahan enam individu masing-masing tiga lelaki dan tiga wanita ketika sedang asyik berhibur.

“Kami juga menyita pusat karaoke yang menyediakan shisha di Panji serta pusat karaoke haram di Jalan Kebun Sultan.

“Dua set shisha dirampas dan dua set karaoke dengan nilai rampasan dianggar bernilai RM10,000,” katanya.

Kertas siasatan dibuka mengikut Enakmen Kawalan Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan Kelantan 1998.

Disiarkan pada: April 22, 2016 @ 9:08am
d