mutakhir

Turun berat badan sukar buat keputusan

Oleh myMetro

Kuching: Kesukaran membuat keputusan mengenai peletakan jawatannya dan pengunduran daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11) menyebabkan bekas Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) Larry Sng turun berat badan empat kilogram (kg) dalam tempoh lima hari.

Perkara itu dinyatakannya menerusi status di laman sosial Facebook (FB) yang dimuat naik, jam 11 malam kelmarin.

Mengulas lanjut mengenai keputusan mengejutnya meletak jawatan dalam SWP dan menarik diri daripada bertanding sebagai calon, Larry berkata, ia keputusan sukar untuk dibuat.

Menurut Larry, beliau sangat tertekan sehingga sukar untuk tidur selain kurang selera makan sebelum membuat keputusan itu.

“Kebenarannya ialah pilihan raya ini akan membabitkan kos yang besar dan sangat mahal.

“Saya percaya yang saya boleh menang. Bagaimanapun, jika menang, saya tidak mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat sebagaimana yang mereka mahukan.

“Saya hanya dapat melakukan itu melalui Barisan Nasional (BN) dan itu kebenarannya,” katanya dalam kenyataan di FB rasminya.

Disiarkan pada: April 22, 2016 @ 9:21am
d