mutakhir

Bergaya melaram kereta klon

Oleh Aizat Sharif

Arau: Tindakan seorang pelajar wanita sebuah institusi pengajian tinggi di negeri ini membeli sebuah kereta Honda Jazz pada harga semurah RM5,000 membawa padah apabila ditahan selepas disyaki menggunakan kereta klon, semalam.

Pelajar berusia 20-an itu ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis dalam sekatan jalan di Jalan Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, berhampiran susur keluar Jalan Changlun-Kuala Perlis, jam 11.10 pagi.

Ketika ditahan, Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan negeri Datuk Sabry Ahmad dan beberapa wakil Jabatan Kerja Raya, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), polis trafik dan JPJ sedang melakukan tinjauan di kawasan berkenaan yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan.

Penolong Pengarah JPJ Perlis Shaufiz Osman berkata, pemeriksaan awal ke atas kereta merah itu mendapati spesifikasi nombor casis didapati berlainan dengan nombor pendaftarannya.

“Kita mengesyaki terdapat sesuatu tidak kena dengan kereta berkenaan dan apabila diperiksa, kami mendapati ia (Honda Jazz) mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan lain disyaki palsu selain tidak mempunyai perlindungan insurans.

“Ketika ditahan, pelajar itu mendakwa kereta berkenaan milik rakannya dan dia sekadar memandu sahaja,” katanya selepas operasi berkenaan.

Menurutnya, pihaknya percaya kereta berkenaan diseludup dari Singapura kerana tamat tempoh penggunaannya di republik itu serta tidak mempunyai sebarang perlindungan insurans.

“Pemilikan kereta ini juga berbahaya kerana tiada perlindungan insurans dan jika berlaku kemalangan dan kesalahan trafik mengakibatkan penganiayaan kepada pemilik sah,” katanya.

Pelajar berkenaan kemudian dibawa ke pejabat JPJ Perlis untuk diambil keterangan dan kereta itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Sejak Januari 2015 hingga April ini, JPJ Perlis menyita sebanyak 20 kenderaan klon yang dikesan dalam operasi dan risikan dilakukan.

Disiarkan pada: April 22, 2016 @ 9:40am
d