mutakhir

Sang Bedal tinjau

Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: Penduduk yang tinggal berhampiran Lorong Kampung Tengah Klebang, dekat sini, gempar dengan kehadiran sang bedal sepanjang dua meter dipercayai spesies buaya tembaga yang timbul di Empangan Pasang Surut Klebang, jam 12.30 tengah hari semalam.

Kejadian disedari penduduk yang kebetulan berada di kawasan itu nampak reptilia terbabit naik ke kawasan berbatu di bawah jambatan berhampiran.

Penduduk, Mohd Hafiz Abd Rahman, 27, berkata, dia yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Telok Gadong untuk bersiap sebelum menunaikan solat Jumaat berhenti di tempat berkenaan apabila penduduk berkumpul di situ.

“Penduduk memaklumkan mengenai kehadiran buaya tembaga berenang di bawah jambatan terbabit.

“Lima tahun lalu, penduduk pernah digemparkan dengan kehadiran empat reptilia sama dipercayai spesies tembaga,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka Noorzakiah Hanum Mohd Noh berkata, kawasan sekitar empangan itu adalah habitat buaya.

“Kami memasang papan tanda bagi memaklumkan kepada orang ramai mengenai kewujudan reptilia itu,” katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2016 @ 11:06am
d