mutakhir

Ara himpun simpati dunia

“Coretan saya hari ini memperincikan mengenai persatuan Aegean Refugee Aid (ARA) iaitu organisasi tidak berdaftar yang ditubuhkan secara rasmi pada 23 November 2015 di kota Izmir, Turki, iaitu selepas dua program bantuan dijalankan menerusi Persatuan Pelajar Malaysia Izmir (PPMI).

Objektif penubuhan ARA bagi menunjukkan solidariti kepada pelarian Syria dan ia mendapat sambutan luar biasa penduduk Izmir dan juga masyarakat antarabangsa, sekali gus menjadikannya lebih kuat dan tersusun.

ARA memfokuskan pelarian Syria di Izmir, tetapi dalam masa sama memberi tunjuk ajar kepada rakan di negeri lain supaya menjalankan program sama.

Secara ringkasnya, 21 program bantuan dijalankan dengan purata kehadiran lima hingga 10 sukarelawan tertakluk kepada beberapa kumpulan kerana setiap program dipisahkan ke tempat berbeza.

Setiap program kami menemui 10 hingga 20 keluarga Syria tertakluk kepada kawasan tumpuan dan maklumat warga Syria.

Apa yang menarik mengenai ARA, terlalu ramai masyarakat antarabangsa menyumbang dana kepada kami secara dalam talian, sama ada melalui bank mahupun syarikat penyedia perkhidmatan pembayaran global Western Union.

Lebih 95 peratus penyumbang dikenali melalui Facebook dan penyumbang terbesar dari Malaysia, Amerika Syarikat dan Panama.

Mereka begitu mempercayai ARA sekalipun sekadar di Facebook dan antara alasan diberikan kami tidak mungkin menyalahgunakan wang itu kerana kami pelajar dan organisasi itu tidak berdaftar, jadi sumbangan terus dinikmati pelarian Syria.

Bagaimanapun, penyumbang memberi dua syarat iaitu pertama ambil gambar resit sebagai bukti pembelian dan kedua ambil gambar sewaktu sumbangan.

Untuk rekod, sekurang-kurangnya 13,000 TRY (RM17,824.45) sudah dibelanjakan dan masih berbaki 10,000 TRY (RM13,711.11).

Dua sukarelawan ibu tunggal Malaysia iaitu Azura Ibrahim, 44, dan Zaleha Ahmad, 64, yang pernah berkhidmat sebagai sukarelawan di pulau Lesbos, Greece menjadi penyumbang dana terbesar untuk ARA.

Antara program dijalankan ialah projek sumbangan roti percuma kepada warga Syria setiap minggu oleh rakyat Malaysia, sekurang-kurangnya 300 roti diedarkan dan setiap peket ada lapan keping roti.

Perlawanan persahabatan bola sepak di antara pelajar Afrika dan pelarian Syria, ARA bersama wakilnya menyertai pembentangan di seminar dan kursus.

Sementara itu, dalam masa terdekat kami merancang mengadakan kelas percuma bahasa Inggeris dan bahasa Turki untuk pelarian Syria.

ARA mendapat sokongan kuat daripada penduduk tempatan Turki, media utama Turki seperti Anadolu Ajansi, Hurriyet dan akhbar Izmir Ilkses membuat liputan mengenai persatuan ini.

Mereka menyifatkan ARA unik kerana pengasasnya pelajar asing di bumi Turki, selain ARA turut mendapat perhatian media Sepanyol, Diario Turco.

Memandangkan kami pelajar, maka program hanya dijalankan sekali seminggu pada Ahad bermula jam 12 tengah hari dan tamat sekitar dua hingga tiga jam.

Minyak masak, gula, garam, makanan ringan, susu, lampin bayi, pakaian, gula-gula untuk kanak-kanak adalah sumbangan lazim diberikan dengan purata perbelanjaan setiap program antara 400 hingga 500 Lira Turki (TRY) (RM548.44 hingga RM685.56).

Sukarelawan terbabit terdiri daripada pelajar antarabangsa, pertukaran pelajar termasuk guru antarabangsa dan pelajar Turki.

Untuk rekod, kini hampir 100 sukarelawan terbabit misi bantuan, malah ada yang masih kekal.

Kini sijil diberikan sebagai penghargaan dan sokongan sekiranya ingin menjalankan program bantuan sama di negara mereka.

Pelajar Korea Selatan paling ramai terbabit iaitu tujuh diikuti Perancis (6), Poland (4), Habsyah (4), Amerika Syarikat (3), Itali (3), Bosnia dan Herzegovina (3), Sepanyol (3), Pakistan (3), Greece (2), Kazakhstan (2), Palestin (3), Azerbaijan (2), Maghribi (2), Kenya (2), Malaysia (2), DPR Congo (2), Benin (1), Iraq (1), Jerman (1), Bolivia (1), Latvia (1), Brazil (1), Montenegro (1), Togo (1), Nigeria (1), Tajikistan (1) dan Somalia (1) termasuk 14 warga Turki dan 20 warga Syria.

Disiarkan pada: April 24, 2016 @ 8:18am
d