mutakhir

Ini kerja serius

Oleh Ainul Fatihah Mansor

Kuala Lumpur: “Mainan juga seperti emas, ada yang dulunya dibeli pada harga RM5 saja, tapi sekarang mampu dijual RM200,” kata pengumpul mainan Mohd Naim Ibrahim, 31.

Kakitangan swasta itu berkata, hobi mengumpul mainan bukan perkara sia-sia kerana ia boleh memberi pulangan lumayan kepada pemiliknya.

Bercerita lebih lanjut mengenai hobinya, dia berkata, minat mengumpul koleksi mainan wujud sejak sekolah rendah, tetapi hasrat itu dipendam kerana faktor kewangan.

“Kini apabila bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, saya mula memperuntukkan wang untuk membeli mainan yang diminati sejak sekian lama.

“Jika orang kata hobi ini menghabiskan duit, bagi saya tidak kerana ada mainan yang boleh dijual sekiranya ketiadaan wang dan ia nyata berbaloi,” katanya di Festival Pengumpul Mainan Kuala Lumpur 3 (CTFK3) di sini, semalam.

Pelbagai koleksi mainan asli antaranya dari filem Star Wars, Ultraman, Doraemon, Captain America dan Dragon Ball dipamer serta dijual di festival berkenaan.

Festival yang berlangsung sehari itu bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

Ia disertai 252 peniaga barangan mainan daripada pelbagai kaum dan dihadiri 8,000 peminat dalam serta luar negara seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand dan Filipina.

Kakitangan swasta Hartini Mohd Isa, 35, berkata, hobi mengumpul mainan memberikan kepuasan, malah suaminya juga mempunyai minat sama.

“Mainan paling mahal pernah dibeli adalah replika kecil motosikal berserta topi keledar yang bernilai lebih RM300,” katanya.

Sementara itu, pengasas CTFK Wan Muhammad Aznan Wan Azmi berkata, festival itu memasuki edisi ketiga selepas dianjurkan pada 2012 dan tahun lalu.

“Kita menerapkan konsep amal sejak kali pertama CTFK dianjurkan iaitu tiada bayaran dikenakan kepada warga emas dan kanak-kanak manakala individu dewasa pula hanya perlu membayar minimum RM1 untuk masuk.

“Kutipan diterima itu disalurkan kepada rumah anak yatim terpilih atau individu dalam kesusahan,” katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2016 @ 8:20am
d