mutakhir

Pejuang tulen

Melaka: Pemimpin dan ahli UMNO diajak menyelami perjuangan bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba yang setia, tidak pernah mengkhianati dan sentiasa mempertahankan parti.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, Allahyarham yang juga anak yatim piatu dihimpit kemiskinan sejak kecil, namun dianggap kaya dengan perjuangan sehingga disegani ramai.

“Pemergian Tun Ghafar sudah 10 tahun manakala ayahanda saya, Tun Razak 40 tahun, dan tahun ini usia UMNO menjangkau ke-70 tahun.

“Kita berkumpul hari ini (semalam) bagi mengenang perjuangan UMNO, budi dan jasa pemimpin lama.

“Perhimpunan ini juga ada tiga signifikan iaitu kesetiaan kepada UMNO, ketaatan pada pemimpin dan ketulenan sebagai ahli parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bacaan Tahlil dan Doa Sempena 10 Tahun Pemergian Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba di Memorial Tun Abdul Ghafar Baba di Peringgit, di sini, semalam.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Antara pemimpin dan veteran UMNO yang hadir adalah mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam, Setiausaha Agung UMNO Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahli Parlimen Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan anak sulung Allahyarham, Tamrin Abdul Ghafar.

Najib berkata, Allahyarham setia kepada pemimpin UMNO walaupun tidak memegang sebarang jawatan, taat kepada parti selepas bersara serta ketulenannya sebagai ahli parti wajar dipraktikkan pemimpin sekarang.

“Ingatlah pesanan pemimpin dulu supaya terus pertahan dan menegakkan UMNO, bukan tinggalkan UMNO, bukan khianati UMNO, selagi UMNO ada, perjuangan diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Tengku Razaleigh menyifatkan Allahyarham atau lebih mesra dengan panggilan Encik Ghafar seorang yang berhati lembut, pemimpin politik tulen dan pejuang Melayu sebenar.

Disiarkan pada: April 24, 2016 @ 8:24am
d