mutakhir

Helah sorok PATI

Kuala Lumpur: Seorang wanita mualaf bukan saja menyewakan kediamannya kepada dua wanita warga Indonesia, malah turut disyaki bersekedudukan dengan lelaki warga Bangladesh sejak 10 tahun lalu hingga melahirkan dua anak lelaki yang kini berusia lima dan tujuh tahun.

Malah, dia juga sanggup menipu pihak berkuasa semata-mata bagi melindungi warga asing yang menghuni rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, di sini.

Bagaimanapun, helah wanita itu terbongkar ketika pemeriksaan dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi operasi bersepadu Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL bersama agensi lain.

Ia susulan aduan ada dalam kalangan penyewa PPR mengambil untung atas angin dengan menyewakan unit mereka kepada orang lain termasuk warga asing.

Ketika pemeriksaan jam 11.30 malam itu, wanita berusia 39 tahun itu pada mulanya memberitahu pegawai penguat kuasa DBKL hanya dia dan dua anak tinggal di situ.

Berasakan ada yang tidak kena dengan jawapan wanita itu, pegawai berkenaan meminta kebenaran untuk membuat pemeriksaan dalam rumahnya sebelum menemui dua wanita warga Indonesia berusia 30-an bersembunyi di bawah katil di bilik utama dan seorang lelaki Bangladesh di dapur.

Soal siasat ke atas seorang wanita itu mengakui baru beberapa bulan tinggal di rumah berkenaan dan bekerja di tempat sama dengan wanita mualaf itu di kedai makan berhampiran kawasan PPR.

Seorang lagi wanita warga asing mendakwa mengasuh anak wanita itu dan tidak mempunyai sebarang dokumen.

Bagaimanapun, kedua-dua wanita dan lelaki itu enggan mengaku mereka menyewa bilik di unit terbabit.

Difahamkan, wanita itu turut dikesan tidak membayar sewa sejak dua tahun lalu dengan kadar tunggakan RM6,000.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL Wan Mohamad Ghazali Nor berkata, kediaman wanita itu antara 26 unit diperiksa DBKL di PPR berkenaan daripada 992 unit yang dibanci selepas mendapati mereka melanggar syarat perjanjian penyewaan mengikut Undang-undang Kecil Perumahan Awam Wilayah Persekutuan 2000.

Katanya, pemeriksaan dilakukan mendapati ada di antara penyewa mengambil untung atas angin dengan menyewakan unit mereka kepada warga asing dengan kadar berganda berbanding sewa mereka kepada DBKL iaitu hanya RM124 sebulan.

“Daripada 26 unit diperiksa, dua didapati menyewakannya kepada warga asing dan disita serta-merta, manakala 24 unit lagi didiami penghuni tidak sah, iaitu bukan pemilik asal.

“Mereka diberikan notis amaran 14 hari untuk mengosongkan unit dan sekiranya gagal selepas tempoh itu, tindakan merampas kediaman akan dilakukan,” katanya pada sidang media selepas operasi itu.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan itu juga seorang lelaki berusia 40 tahun diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kerana menagih di dalam rumah.

Tiga penyewa lain turut dikompaun dengan dua daripadanya atas kesalahan membawa motosikal menaiki lif dan satu lagi memelihara anjing dalam rumah.

Wan Mohd Ghazali berkata, sejak Januari lalu hingga kelmarin, DBKL mengambil tindakan merampas 114 unit termasuk premis kedai atas pelbagai kesalahan.

Disiarkan pada: April 24, 2016 @ 8:41am
d