mutakhir

Jurutera kambing

Oleh Mary Victoria Dass

Kulai: Keputusan meninggalkan kerjaya sebagai jurutera kimia di syarikat swasta di Jepun, dua tahun lalu bagi membabitkan diri dalam penternakan kambing tidak pernah disesali Noor Akma Walid, 33.

Berbekalkan modal wang simpanan berjumlah RM3,000, Noor Akma sanggup berdepan sebarang kemungkinan termasuk kehilangan pendapatan melebihi RM4,000 dengan mencuba bidang baru biarpun sudah berpengalaman sebagai jurutera kimia selama lapan tahun.

Noor Akma yang juga pengasas syarikat Akma Tani berkata, semua itu dilakukannya demi mengejar cabaran untuk menceburi bidang keusahawanan tani.

“Pada awalnya, saya tidak menerima sokongan daripada keluarga atau kenalan dan saya sedar mereka bimbang dengan masa depan saya.

“Bagaimanapun, saya berjanji pada isteri, Nor Suriana Samuri, 26, yang ketika itu mengandung anak pertama dan memintanya memberi saya masa setahun dan sekiranya tidak mendapat hasil, saya akan mencari pekerjaan sesuai,” katanya.

Dia yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia Industri) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, dia yakin doa ahli keluarga dan berkat usaha yang gigih, membolehkannya mengecapi kejayaan hingga mampu menjangkau pendapatan lima angka sebulan.

“Saya memulakan perusahaan ini secara sambilan penghujung 2011 dan beroperasi sepenuhnya sejak 1 April 2014. Minat dipupuk sejak di bangku sekolah rendah dan ditambah terhadap kesedaran fardu kifayah dalam membantu umat Islam melakukan ibadat seperti akikah dan korban dengan membekalkan ternakan,” katanya.

Noor Akma berkata, dia pernah menebalkan muka dengan berjalan dari rumah ke rumah untuk mengedarkan risalah selain mempromosikan perusahaannya dalam kalangan ibu mengandung di klinik bagi memudahkan mereka mendapatkan bekalan untuk akikah, selain sebagai strategi memasarkan kambingnya.

“Bagi membina semangat, saya juga rajin berkunjung dan mendapatkan tip daripada penternak lain bagi mendalami ilmu ternakan kambing dan bersyukur diberi kepercayaan oleh syarikat kenalan, Wawasan Anak Bumi Sdn Bhd yang menyuntik pelaburan RM100,000 dalam perusahaan saya ini.

“Ia membolehkan saya memindahkan operasi yang dilakukan secara sambilan di ladang di Kota Tinggi ke ladang berkeluasan 3.2 hektar yang disewa di Kampung Melayu Seelong Senai dan membolehkan saya membabitkan diri secara sepenuh masa,” katanya yang kini dibantu seorang pekerja sepenuh masa serta beberapa pekerja sambilan.

Dia berkata, pada sesuatu masa, dia menternak 100 kambing dan kebiasaannya, seekor kambing ternakannya dijual antara RM700 hingga RM1,000 seekor, selain syarikatnya juga mengimport 2,000 kambing setiap bulan dari Australia untuk dibekalkan secara terus kepada pengusaha ternakan di seluruh Semenanjung.

“Bagi golongan belia yang ingin menceburi perusahaan ini boleh mengunjungi halaman Akma Tani di Facebook (FB) atau menghubungi talian 013-7992503,” katanya.

Disiarkan pada: April 26, 2016 @ 8:09am
d