mutakhir

100 anggota IPD Dang Wangi sertai perlawanan bowling

Kuala Lumpur: Kesibukan memerangi jenayah bukan penghalang buat kira-kira 100 anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mengadakan perlawanan bowling bersama komuniti setempat.

Ini dibuktikan apabila Balai Polis Dang Wangi diketuai Asisten Superintendan Mohd Maizuri Abdul Mahid menganjurkan Pertandingan Bowling Bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon Kampung Baru di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang, petang kelmarin.

Bertemakan ‘polis dan masyarakat berpisah tiada’, program bermula jam 3 petang itu disertai lapan kumpulan dari KRT dan empat kumpulan dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah yang turut menyertai pertandingan berkenaan berkata, pihaknya sentiasa menjalinkan hubungan baik dengan KRT Zon Kampung Baru.

“Sebelum ini pihak kami menjalankan rondaan bersama Unit Rondaan Bermotosikal (URB) selain rondaan berjalan kaki bersama KRT Kampung Hujung Pasir bagi membanteras jenayah di kawasan Kampung Baru.

“Justeru, bagi mengukuhkan lagi hubungan kerjasama sedia terjalin ini, polis menganjurkan pertandingan bowling ini.

“Anggota masyarakat memainkan peranan penting kepada pihak polis untuk mengekang jenayah sama ada dari segi menyalurkan maklumat atau mencegah jenayah berlaku,” katanya ketika ditemui pada pertandingan berkenaan.

Antara KRT yang menyertai pertandingan ini adalah dari Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya, Kampung Periok, Kampung Masjid, Kampung Sungai Baru dan Kampung Padang.

Pasukan dari IPD Dang Wangi A merangkul johan dari kejohanan ini dengan mengutip mata sebanyak 1025 manakala KRT Kampung Padang mendapat tempat kedua dan tempat ketiga dimenangi pasukan IPD Dang Wangi B.

Sementara itu, Pengerusi KRT Kampung Sungai Baru Raden Salikun Mui berkata, aktiviti sebegini perlu dijalankan lebih aktif pada masa hadapan bagi memastikan kerjasama erat antara masyarakat dan polis.

“Saya dapat lihat penurunan jenayah di kawasan Kampung Baru selepas menjalankan rondaan bersama polis. Walaupun tidak mempunyai statistik, saya dapat merasai penurunan ini,” katanya.

Disiarkan pada: April 26, 2016 @ 10:03am
d