mutakhir

Sebar ilmu jaga kesihatan

Oleh Suraya Roslan dan Amirol Amin Abu Bakar

Petaling Jaya: Mengasingkan diri dan tidak yakin berdepan dengan orang ramai. Itu antara situasi yang kerap terjadi kepada wanita sebaik dikesan menghidap kanser payudara.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PRIDE Aeron Munajat berkata, selain itu kebanyakan pesakit tidak tahu bagaimana untuk menjaga kesihatan selepas menjalani pembedahan membuang payudara.

“Disebabkan itu, kita mengadakan program Cook With Pride bertujuan mengumpulkan bekas pesakit dan pesakit supaya mereka boleh berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengenai penyakit berkenaan.

“Selain itu, program ini juga mendedahkan kepada mereka penjagaan kesihatan melalui makanan yang berkhasiat sebaik selesai menjalani pembedahan,” katanya selepas sesi memasak di kediaman cef terkenal, Mohana Gill, di sini, semalam.

Program itu membabitkan lebih 25 pesakit wanita dan individu yang disahkan bebas penyakit kanser payudara saling bertukar fikiran melawan perasaan negatif mereka.

Sementara itu, Mohana berkata, pemakanan yang sihat juga memainkan peranan penting supaya pesakit dan bekas pesakit mendapat zat secukupnya selepas atau semasa menjalani proses rawatan kemoterapi.

“Sebagai orang yang agak berpengalaman menyajikan makanan sihat, saya mengetengahkan menu sayur-sayuran kerana ia lebih sihat dan bagus untuk pesakit kanser payudara.

“Di samping memperbanyakkan sayur dan buah dalam menu harian, pesakit perlu melakukan aktiviti fizikal dan mental seperti beriadah serta meluangkan masa dengan orang tersayang,” katanya.

Pesakit kanser Mirayenita Bachtiar, 44, berkata, sebaik mengetahui dirinya menghidap kanser pada 2010, dia mengakui tahap keyakinan dan semangat untuk hidup makin luntur.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dikelilingi suami, anak, ahli keluarga dan rakan daripada Yayasan PRIDE yang sentiasa memberi kata-kata semangat dan kekuatan melawan penyakit ini,” katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2016 @ 7:43am
d