mutakhir

Rebut peluang awal

Georgetown: Menyedari penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) sering berdepan masalah kewangan termasuk bergantung kepada biasiswa, pinjaman atau kiriman keluarga, langkah berbeza diambil penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Mohamad Shafiq Kamaruddin, 25, bagi menangani kemelut berkenaan.

Berbekalkan minat dan azam tinggi, Mohamad Shafiq bersama tiga rakan yang masih menuntut di USM menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan membuka kafe ‘The Kapits’ berkonsepkan hipster dan vintaj sejak Mei tahun lalu.

“Saya minat berniaga sejak di bangku sekolah dan ketika berada di tingkatan tiga, saya berniaga aiskrim goreng kecil-kecilan di sekolah. Malah, produk aiskrim goreng itu saya jual di The Kapits, selain pelbagai jenis makanan dan minuman.

“Saya berniaga kerana minat dan bukan sebab nak cepat kaya. Dalam keluarga, tiada seorang adik-beradik yang berniaga dan saya berbuat demikian atas kehendak sendiri dan mahu berdikari serta mengubah status keluarga.

“Arwah ayah bekerja sebagai pemandu bas manakala ibu pula tukang cuci menyebabkan saya sedar keadaan dan status keluarga. Oleh itu, saya tidak mahu bergantung kepada mereka,” katanya yang juga penuntut tahun akhir Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan.

Mohamad Shafiq mula berniaga di USM ketika berada di tahun dua pengajian secara kecil-kecilan selama dua tahun sebelum merebut peluang membuka kafe di dalam kampus USM itu.

Ketika ini, Mohamad Shafiq masih bergelar siswa dan sedang menjalani latihan mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul sebagai guru mata pelajaran Sejarah dan Geografi.

“Rakan niaga saya juga penuntut USM dan masing-masing mempunyai bidang tugas khusus iaitu Syed Ikhmal al Qadrie Syed Alias menjaga pemasaran dan media sosial, Anis Muhayidin sebagai akauntan serta Mark Jinmin menguruskan hal berkaitan sumber manusia.

“The Kapits kini mampu menjana RM5,000 hingga RM6,000 sebulan. Lebih penting, kami kini memiliki 31 pekerja sambilan yang terdiri daripada penuntut USM,” katanya.

Disiarkan pada: April 28, 2016 @ 7:54am
d