mutakhir

Tarikh penentu

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Kuantan: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam menetapkan tarikh 20 Mei ini untuk memutuskan sama ada ketua kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun, Harun Mat Saat dan lima pengikutnya perlu membela diri atas pertuduhan berkonspirasi membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd Malek, pada 2013.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan masing-masing selesai mengemukakan hujahan di akhir kes pendakwaan.

Sepanjang perbicaraan pada peringkat kes pendakwaan, 54 saksi tampil memberikan keterangan.

Harun, 50, bersama isteri ketiganya, Azida Mohd Zol, 33, pemandu mereka, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 40, dan tiga pengikut iaitu Jefferi Safar, 39, Sumustapha Suradi, 41, serta Shamsinar Abdul Halim, 39, bersama seorang lagi masih bebas, dituduh melakukan konspirasi jenayah dengan bersetuju antara mereka membunuh Ahmad Raffli.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di No 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota, di sini, pada jam 1.50 tengah hari, 10 November 2013.

Shamsinar bersama Sumustapha dan seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Ahmad Raffli pada tarikh, tempat dan masa sama.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 dan 120B (1) Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: April 30, 2016 @ 7:53am
d