mutakhir

Undur untuk langgar MPV polis

Georgetown: Orang ramai yang berada di sekitar Jalan Lim Lean Teng di sini, terkejut melihat adegan umpama dalam filem apabila sebuah kereta Proton Wira dinaiki tiga lelaki dikejar unit kereta peronda (MPV), unit trafik dan Unit Ronda Balai, petang kelmarin.

Malah, kereta suspek merempuh beberapa kereta diparkir di tepi jalan dan turut mengundur untuk melanggar MPV menyebabkan kerosakan sebelum dua daripada tiga suspek itu ditangkap manakala seorang lagi sempat meloloskan diri.

Drama berkenaan bermula jam 5.20 petang apabila anggota MPV yang membuat rondaan di kawasan Kebun Bunga melihat sebuah kereta Proton Wira dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba menahannya.

Bagaimanapun, pemandu kereta berkenaan memecut untuk melarikan diri menyebabkan anggota MPV menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk bantuan sebelum Unit Trafik dan Unit Rondaan Balai memberi bantuan untuk bersama-sama mengejar suspek.

Selepas berjaya menghentikan kereta suspek, anggota polis terus mengejar ketiga-tiganya yang dipercayai mempunyai kaitan dengan jenayah termasuk kes pecah rumah dan rompakan sebelum dua lelaki berusia 28 dan 25 tahun ditahan manakala seorang lagi sempat melarikan diri.

Disiarkan pada: April 30, 2016 @ 8:02am
d