mutakhir

Nasib anakku

Oleh Rosli Mansor Ahmad Razali

Ipoh: “Saya rela berkorban demi memastikan dua anak saya pulih,” kata Rohfizan Abd Karim, 38, yang menjaga dua anaknya yang berusia lima bulan dan lima tahun yang terlantar akibat leukemia dan masalah saraf tunjang.

Menurutnya, Nur Iman Nasuha, 5, hanya terlantar di ruang tamu rumah selepas disahkan mengidap leukemia oleh Jabatan Patologi, Hospital Kuala Lumpur, pada Januari 2015.

Katanya, Mohd Fikri Firdaus, lima bulan pula menderita masalah saraf tunjang sejak dilahirkan.

“Nur Iman sebelum ini cergas dan periang sebelum menderita penyakit kronik itu.

“Dia sudah menjalani enam kali rawatan kimoterapi dan saya tidak tahu apakah masa depannya nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri Sri Kepayang, Jalan Ghazali Jawi, di sini, semalam.

Menurutnya, Mohd Fitri Firdaus pula disahkan mengalami masalah saraf tunjang sejak lahir dan kesan daripada penyakit itu kaki kanannya mengalami kecacatan serius.

“Apa yang membimbangkan sekiranya lubang kecil berdekatan dengan duburnya membesar dan jika tidak dirawat dengan segera akan menimbulkan komplikasi ke anggota badan.

“Setakat ini anak saya itu dalam pemerhatian doktor dan akan mendapatkan rawatan lanjut dalam masa terdekat,” katanya.

Rohfizan berkata, isteri, Norfadzillah Pak Adib, 28, dan dua lagi anaknya,
Nurfarah Najwa, 11 dan Mohd Aqil Mustaqim, 3, terpaksa mengehadkan perbelanjaan dan lebih menumpukan hal perubatan.

“Mujur isteri saya bekerja, setidak-tidaknya mampu meringankan beban kami.

“Saya pula tidak dapat menumpukan kerja kerana terpaksa menjaga dua anak yang sakit dan saya hanya mampu memperoleh pendapatan RM350 sebulan”, katanya yang bekerja sendiri sebagai pemesin rumput bagi menyara keluarga.

Menurutnya, hasil pendapatan isterinya yang bekerja di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tidak mencukupi untuk perbelanjaan mereka sekeluarga.

Difahamkan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) memberi bantuan RM150 selama 12 bulan bagi membantu kos rawatan Nur Iman Nasuha dan Rohfizan selain menerima bantuan bulanan Baitumal RM250 sebulan.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan keluarga itu boleh menghubungi mereka di alamat A-10-2 Pangsapuri Sri Kepayang, Jalan Ghazali Jawi, Ipoh.

Disiarkan pada: May 1, 2016 @ 9:00am
d