mutakhir

Tidur ayam je!

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: ‘Hanya sempat tidur ayam.’ Itu antara alasan segelintir individu terutama yang bekerja di Singapura memilih hidup gelandangan di pusat bandar raya ini.

Program Crave For Kindness 1.0 anjuran kumpulan pelajar fakulti Perniagaan, Teknologi dan Perakaunan UNITAR International University dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), We Love Charity (WLC) mendekati golongan berkenaan, malam kelmarin.

Presiden Kelab Perniagaan, Teknologi dan Perakaunan UNITAR International University cawangan Johor Bahru Badhrun Nissa Abdul Hamid berkata, seramai 45 sukarelawan yang menyertai program itu tidak melepaskan peluang mengedarkan makanan dan minuman sambil menyelami kehidupan golongan berkenaan.

Menurutnya, empat lokasi dikunjungi termasuk berhampiran Masjid Abu Bakar, Jalan Wong Ah Fook, bazar karat dan dataran berhampiran Larkin, di sini.

Pihak terbabit mendekati 70 gelandangan berusia antara 30-an hingga 50-an.

“Ada segelintir individu bekerja di Singapura namun tinggal gelandangan berikutan rumah keluarga jauh dari pusat bandar raya.

“Mereka mengakui berpendapatan melebihi RM1,000 dan mampu membiayai kos menyewa bilik namun mengambil keputusan hidup gelandangan kerana lebih mudah berikutan hanya melelapkan mata kurang lima jam.

“Mereka hanya pulang ke rumah keluarga di Gelang Patah, Kulai dan Batu Pahat pada hujung minggu.

“Selama ini, kami tidak sedar ada pusat perlindungan sementara disediakan iaitu Anjung Singgah di bandar raya ini. Namun ramai tidak menggunakan kemudahan berkenaan, sebaliknya berteduh di tempat gelap dan sunyi tanpa memikirkan keselamatan,” katanya.

Sukarelawan Mohamad Asyraf Md Khalid berkata, pihaknya menemui seorang pekerja kontrak dikenali Pak Ali berusia 56 tahun yang hidup gelandangan selama lima tahun.

“Dia memilih hidup begitu kerana tidak berumah tangga dan gaji rendah iaitu RM300 hingga RM400 sebulan.

“Dia tidak mampu menyewa bilik atau rumah di bandar raya ini dan memilih tidur di tempat awam pada waktu malam dan menggunakan kemudahan tandas awam untuk membersihkan diri.

“Meskipun bersimpati keadaan mereka, kami berpendapat golongan ini harus berusaha mengubah dan menaik taraf kehidupan masing-masing kerana kehadiran mereka menjejaskan imej pusat bandar raya yang menjadi pintu masuk negara,” katanya.

Disiarkan pada: May 1, 2016 @ 9:12am
d