mutakhir

Ingatkan cuma keracunan...

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Hidup bagaikan sudah tiada erti dan hanya menunggu saat ajal apabila doktor mengesahkan dia menghidap kanser usus tahap dua ketika melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital kerajaan, di sini, lima tahun lalu.

Kesakitan di perut dan najis berdarah yang dianggap sebelum ini berpunca daripada keracunan makanan adalah petanda dirinya diserang kanser yang boleh membawa maut jika tidak mendapatkan rawatan awal.

Ketika wartawan bertemu dengan bapa kepada enam anak, Tan Chu Tea, 57, dia menghela nafas panjang sebelum memulakan bicara mengenai keperitan ketika disahkan menghidap penyakit itu.

Walaupun kelihatan ceria dan mampu tersenyum, daripada raut wajahnya jelas kelihatan dia pernah melalui satu tempoh yang sukar dahulu.

Menceritakan detik awal disahkan menghidap kanser usus besar, dia bagaikan berada di awangan kerana tidak mempercayai penyakit itu menyerang dirinya.

“Saya tidak menghidap sebarang penyakit kronik, malah kehidupan harian seperti biasa tiada masalah kesihatan yang menjejaskan rutin sebagai pemandu lori.

“Satu hari ketika membuang air besar tiba-tiba keluar darah dan diselangi pula sakit perut, namun menganggap ia hanya sakit biasa dan akan baik apabila makan ubat saja,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Hadir sama, Presiden Pertubuhan Advokasi Kanser Malaysia (EMPOWERED) Dr Christina Eng.

Menurut Tan, pada peringkat awal dia merahsiakan perkara terbabit daripada pengetahuan ahli keluarga kerana tidak mahu mereka bimbang mengenai keadaan kesihatannya.

“Keadaan itu berlanjutan beberapa bulan sebelum mengambil keputusan memaklumkan kepada keluarga dan mereka menasihati supaya melakukan pemeriksaan lanjut di hospital.

“Selepas pemeriksaan dilakukan, perkara paling sedih berlaku pada saya apabila dimaklumkan menghidap kanser tahap dua dan memerlukan rawatan segera bagi mengelak keadaan lebih buruk,” katanya.

Tan berkata, keluarga banyak memberikan dorongan dan sokongan untuk melawan penyakit itu selain rakan-rakan turut memberikan semangat supaya tidak mengalah.

“Peringkat awal rawatan, saya perlu menjalani pembedahan untuk membuang sebahagian usus besar bagi mengelak kanser terus merebak sebelum rawatan radioterapi serta kimoterapi dalam tempoh hampir setahun,” katanya.

Kesungguhan melawan penyakit itu ternyata berbaloi apabila pemeriksaan susulan mendapati dia sudah sembuh dan disahkan sihat tanpa kanser.

“Pengalaman itu sememangnya memberikan peringatan supaya sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dan tidak memandang remeh pemeriksaan kesihatan kerana ia antara inisiatif mengesan awal kanser,” katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2016 @ 8:06am
d