mutakhir

'Permata baru' pemimpin pelapis kerajaan negeri

Mukah: Penyertaan Datuk Dr Juanda Jaya dalam politik negeri ini bakal menjadi ‘permata baru’ dalam tampuk kepemimpinan kerajaan negeri terutama dalam kalangan pemimpin pelapis.

Pembabitan mengejut calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini mencuri tumpuan ramai sama ada kawan mahupun lawan.

Ketika ditemui Harian Metro, Juanda berkata, keputusan beliau untuk menceburi politik bukan langkah mudah, apatah lagi tumpuan kini seolah-olah terarah kepadanya.

“Ini yang saya perlu ingat. Ia (politik) datang kepada saya dan saya tidak ada pilihan kecuali mesti sama-sama membangunkan masyarakat Islam di negeri ini dan masyarakat lain di Sarawak sendiri.

“Soal orang kata politik itu kotor, ia persepsi masing-masing. Ia umpama pisau yang bermata dua, kita boleh gunakan pisau untuk memotong sayur atau digunakan untuk mencederakan orang.

“Jadi orang yang potong sayur itu akan dapat pahala manakala yang mencederakan orang tadi pasti dapat dosa. Begitu juga dengan politik,” katanya.

ketika ditemui di rumah pusaka keluarganya di Kampung Igan, di sini, baru-baru ini.

Juanda mengakui sebagai orang politik, beliau perlu meletakkan kedudukan rakyat pada kedudukan paling tinggi.

“Manakala pengawas kita adalah Allah SWT yang mengetahui apa dalam hati manusia, begitu juga dengan kemampuan kita. Dengan itu, saya yakin Allah SWT akan memberikan bimbingan kepada kita,” katanya.

Mengenai penerimaan beliau daripada seorang bekas mufti kepada ahli politik, Juanda berkata, tidak kira kawan dan lawan mengalu-alukan pembabitannya.

“Itulah rahmat dalam Islam sendiri, ramai tokoh bukan Islam yang mengalu-alukan kehadiran saya dalam politik seperti Tan Sri Dr James Jemut Masing yang beberapa kali mahukan saya menyertai politik (negeri), begitu juga Tan Sri William Mawan Ikom.

“Sebelum ditawarkan menjadi calon BN, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang selalu berpesan kepada saya, jangan sesekali menolak tawaran Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

“Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum juga banyak kali berpesan supaya saya balik ke Sarawak dan memberikan khidmat saya kepada rakyat di negeri ini.

“Padahal saya seorang mufti, betapa orang di Sarawak berusaha satu sama lain memelihara keharmonian untuk sama-sama membina negeri ini. Kawan dari pembangkang PAS dan PKR juga sudah lama mahu saya menyertai politik,” katanya.

tamat/nash

Disiarkan pada: May 3, 2016 @ 8:15am
d