mutakhir

Terbiasa ucap bahasa tempatan

Oleh Nasharuddin Muhammad

Saratok: Selepas hampir seminggu berkampung di negeri ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah mula membiasakan dirinya untuk memulakan ucapan dalam bahasa tempatan.

Ketika program tinjauan mesra di Dataran Bandar Saratok di sini, semalam, Perdana Menteri bertanya khabar dan memperkenalkan dirinya menggunakan bahasa Iban.

“Nama berita kitak...aku tok Najib Razak, apai besai kitak (Apa khabar anda, saya Najib Razak pemimpin anda),” katanya ketika berucap sambil disambut sorakan lebih 2,000 penduduk yang hadir.

Turut mengiringi beliau calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka Datuk Wahab Aziz dan calon baru BN kerusi DUN Krian Kilat Beriak.

Najib memberi jaminan kedua-dua calon ditampilkan BN di kawasan Parlimen Saratok itu mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.

“Datuk Wahab tidak perlu kita perkenalkan lagi kerana beliau sudah cukup lama mewakili kawasan Kalaka dan perkhidmatannya sudah terbukti.

“Saya juga memberi jaminan Kilat mampu melaksanakan tanggungjawab untuk rakyat di kawasan Krian yang sebelum ini dikuasai pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan pembangunan infrastruktur di Sarawak, namun saiz negeri ini yang amat luas menyukarkan kemudahan asas disediakan dalam tempoh singkat.

“Kerajaan menyalurkan peruntukan berbilion ringgit untuk menyediakan pelbagai kemudahan asas di Sarawak dan ia memerlukan masa sehingga 10 tahun untuk dilaksanakan secara menyeluruh.

“Sebab itu, berilah sokongan kepada calon daripada parti yang berkemampuan untuk menyediakan kemudahan itu, bukan calon individu atau dari parti yang hanya mahu menang pilihan raya saja,” katanya.

Dalam ucapan singkat itu, beliau turut mengumumkan peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM90 juta untuk melaksanakan pembinaan jambatan Sungai Krian bagi menghubungkan Saratok dengan Kampung Kupang serta pembinaan jalan sepanjang 18 kilometer dari simpang Jalan Bajau.

tamat/nash

Disiarkan pada: May 3, 2016 @ 8:16am
d