mutakhir

Bank data kumpul maklumat terperinci

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendesak kerajaan mewujudkan bank data perumahan bagi mendapatkan maklumat tepat penjawat awam yang belum memiliki rumah terutama mereka yang bekerja puluhan tahun.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, langkah itu perlu bagi mengumpul data terperinci dan memudahkan kerajaan membuat perancangan mengenai jenis kerja dan lokasi penjawat awam yang belum memiliki rumah.

“Kenyataan CUEPACS sebelum ini mengenai 60 peratus penjawat awam belum memiliki rumah adalah data tidak rasmi yang kita peroleh menerusi siri jelajah ke seluruh negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Azih sebelum ini memaklumkan, 60 peratus penjawat awam atau 960,000 daripada 1.6 juta penjawat awam belum memiliki rumah dengan 75 peratus daripadanya berusia 40 tahun ke bawah.

Mengulas mengenai pembinaan projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dilaksanakan kerajaan, katanya, ia belum mencukupi dan hanya tertumpu di bandar utama seperti Putrajaya dan ibu negeri.

“Penjawat awam ini ada di merata tempat di seluruh negara dan di pinggir bandar. Jadi kita harap kerajaan dapat membina perumahan baru lebih meluas dan menyeluruh mengikut lokasi penjawat awam berkhidmat.

“Kerajaan juga wajar mempunyai bank tanah sendiri yang boleh dibangunkan secara berperingkat, sekali gus dapat mengawal harga rumah secara kompetitif daripada naik terlalu tinggi seperti dibangunkan pemaju swasta,” katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu mengawal projek perumahan baru ini daripada dijual kepada rakyat asing kerana rumah mampu milik belum tentu dapat menjadi rumah mampu beli bagi rakyat tempatan.

Disiarkan pada: May 3, 2016 @ 8:20am
d