mutakhir

Bukukan pengalaman bersih 140 masjid

Oleh myMetro

Shah Alam: “Tiada sumber penajaan, hilang telefon bimbit selain menerima cacian atau sindiran sinis segelintir pihak. Itu antara keperitan terpaksa dihadapi sepanjang melaksanakan misi itu,” kata Annas Aiman Jaffry, 27, menyempurnakan kembara berjalan kaki selama lapan bulan untuk membersihkan 140 masjid di seluruh Semenanjung Malaysia tahun lalu.

Justeru melalui fasa kedua, dia mahu mengabadikan pengalaman itu di dalam sebuah buku yang sudah mula dijual di pasaran.

“Kami ingin berkongsi pengalaman itu secara lebih dekat dengan semua pembaca dan menunjukkan bahawa sesuatu ‘dakwah’ bukan mudah untuk dilaksanakan,” katanya.

‘Misi akhirat’ yang berakhir pertengahan September lalu dilaksanakan Anas bersama adiknya, Muhammad Aidil, 24, dan rakan karib mereka, Muhammad Hizammudin Alidin, 25, melalui perjalanan sejauh 2,353 kilometer selama 239 hari.

Kini, pengalaman mereka sepanjang misi itu boleh diperoleh menerusi buku ‘Geng Cuci Masjid: Kembara 3 Sahabat Mengejar Diri & Tuhan-Nya’ yang akan dijual di kedai buku dalam tempoh terdekat pada harga RM29.

Menurut Annas, buku hasil penulisannya itu memakan masa selama empat bulan untuk disiapkan dan isi kandungannnya berkisarkan kisah suka duka mereka dalam misi di 11 negeri di Semenanjung.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, walaupun usaha murni mereka diperlekehkan segelintir pihak pada awalnya, namun dia bersyukur kerana semuanya berjalan lancar hingga membolehkan misi berkenaan diteruskan ke Sabah dan Sarawak.

Kata Annas, dia berharap buku yang dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Serdang itu menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Dalam pada itu, beliau berkata, dia dan Muhammad Aidil akan berangkat semula ke Sarawak hari ini untuk meneruskan Kembara Sahabat Borneo membersihkan 30 masjid di Bumi Kenyalang berkenaan.

“Sejak pertengahan Mac lalu, kami sudah membersihkan 21 masjid termasuk yang terbaharu di Sibu. Jika tiada aral, kami akan meneruskan pula misi ke Sabah pada awal Ramadan,” katanya memaklumkan perkembangan lanjut mereka boleh diikuti menerusi laman Facebook ‘Ibnu Battuta Adwt’ dan akaun Instagram ‘kembarasahabatborneo’.

Disiarkan pada: May 3, 2016 @ 8:32am
d