mutakhir

Empat anak lelaki sanding serentak

Oleh myMetro

Ipoh: Pasangan suami isteri, Ruslan Abdullah Sani, 58, dan Faridah Mohammad Nor, 48, melalui detik paling istimewa apabila empat anak lelaki melangsungkan persandingan serentak di kediaman mereka di Blok AC 2-06, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Ulu Kinta, dekat sini, kelmarin.

Ruslan yang juga bekas Komando 69 dan isterinya mengambil keputusan mengadakan majlis persandingan penuh bermakna itu yang mencatat sejarah dalam keluarga mereka.

Pasangan mempelai, Farizul Ruslan, 30, dan pilihan hatinya, Nurul Imaniah Salleh, 27; adiknya, Mohamad Hafiz, 27, dan Noor Raihan Mahmud, 30, manakala pasangan kembar Mohamad Nidzam, 24, memilih Nur Hijriah Abdul Rahim, 26; sementara Mohamad Saiful, 24, pula menjadikan Nur Shafiqah Amil Bosih, 20, sebagai teman hidup.

Ruslan berkata, dia gembira dan terharu apabila majlis berkenaan berlangsung dengan selamat serta meriah dengan kehadiran rakan dan saudara mara.

“Saya bersyukur mendapat empat menantu serentak dan majlis berlangsung seperti diharapkan. Ini detik bersejarah kami sekeluarga.

“Selain suasana lebih meriah dengan perkahwinan serentak ini, ia juga menjimatkan belanja,” katanya

Majlis berkenaan yang berlangsung ringkas dan meriah dihadiri 2,000 tetamu yang terdiri daripada penduduk sekitar, kenalan dan saudara mara pasangan pengantin berkenaan.

Disiarkan pada: May 3, 2016 @ 8:52am
d