mutakhir

Tarikan satu guni RM10

Oleh myMetro

Banting: Tawaran satu guni pakaian pada harga hanya RM10 antara tarikan yang menjadikan Jualan Mega JBR Bundle di sini ‘sasaran’ ramai pengunjung.

Malah dalam jualan mega bermula Jumaat lalu hingga kelmarin, hampir 100 guni bundle dibeli orang ramai.

Selain itu, harga serendah 20 sen ditawarkan disamping potongan sehingga 50 peratus untuk barangan berjenama turut menggamit kunjungan ramai.

Pengunjung, Mohd Azri Mohd Azan, 30, berkata, dia sanggup datang dari Muar, Johor, untuk membeli pakaian bundle.

Dia yang juga peniaga barangan itu menyifatkan harga tidak masuk akal berkenaan antara faktor dia sanggup datang dari jauh.

“Memang berbaloi saya datang dari jauh untuk mendapatkan pelbagai barangan ini. Bayangkan saya beli empat guni bundle pada harga RM40. Malah saya dapat satu lagi guni percuma.

“Dalam seguni ada antara 300 hingga ke 400 helai pakaian,” katanya ketika ditemui, di sini.

Mohd Azri berkata, itu kali pertama jualan seperti itu diadakan dan tawaran yang diberikan sangat menarik.

“Sepanjang pengetahuan saya, ini kali pertama wujudnya program sebegini dan peluang ini seharusnya tidak dilepaskan,” katanya.

Sementara itu, pemilik JBR Bundle, Abdul Jabbar Bachtiar Nasution, 31, berkata, sepanjang tiga hari jualan, sambutan diterima sangat menggalakkan.

Katanya, ada yang datang sejauh Pulau Pinang dan Johor untuk mendapatkan pelbagai barangan bundle pada harga termurah.

“Sambutan diterima di luar jangkaan kerana kita jual pada harga sangat murah dengan barangan ditawarkan pada Gred A.

“Aktiviti ini bukan keuntungan semata-mata sebaliknya menghargai pelanggan di samping menyambut ulang tahun ke-3 cawangan kami di Kanchong Darat,” katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2016 @ 9:22am
d