mutakhir

Tiga nafi noda gadis 19 tahun

Oleh myMetro

Kota Bharu: Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, terhadap tuduhan merogol seorang gadis, dua tahun lalu.

Tertuduh, Zamri Hassan, 26, Amirul Ashraf Mohd Nor, 23, dan Wan Muhamad Azizu Wan Mohktar, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunus.

Mengikut pertuduhan, Zamri dan Wan Muhamad Azizu didakwa merogol mangsa berusia 19 tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Jalan Kuala Besar Kampung Che Latif di sini antara jam 12 tengah malam hingga 1.30 pagi, 9 September 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Amirul Ashraf didakwa meletakkan ketakutan kepada mangsa sama, sebelum merogolnya pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fahrul Razi Zainal Abidin, menawarkan jaminan RM10,000 kepada Wan Muhammad Azizu, manakala jaminan RM 11,000 kepada Zamri dan Amirul Ashraf.

Bagaimanapun, peguam bela, Mohd Faizal Hazim Abdul Rahman, memohon jaminan minimum.

Mahkamah mengekalkan jaminan yang ditawarkan pihak pendakwaan dan menetapkan 19 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: May 4, 2016 @ 7:12am
d