mutakhir

SPR sasar 75% laksana hak

Oleh myMetro

Kuching: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan lebih 75 peratus pengundi akan melaksanakan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11, Sabtu ini.

Pengerusinya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, sasaran itu didorong oleh keadaan cuaca baik yang direkodkan di seluruh negeri ini.

“Sasaran diletakkan SPR ini bukan saja merangkumi pengundi awal, malah membabitkan semua pengundi yang akan menjalankan tanggungjawab mereka pada 7 Mei ini.

“Malah, faktor cuaca yang baik di kebanyakan kawasan di seluruh negeri mendorong peratusan keluar mengundi dijangka semakin meningkat bagi pilihan raya negeri kali ini,” katanya selepas meninjau proses pengundian awal di Dewan Bukavu, Kem Penrissen, di sini, semalam.

Mohd Hashim berkata, hasil tinjauan di beberapa pusat mengundi di sekitar Kuching mendapati proses mengundi awal berjalan lancar.

Selepas semua pusat pengundian awal ditutup, semalam, SPR merekodkan sebanyak 72 peratus pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya negeri kali ini.

Mengulas mengenai penutupan 33 daripada 79 pusat mengundi awal di seluruh negeri pada jam 2 petang, Mohd Hashim berkata, ia berikutan jumlah pengundi yang kurang selain faktor lokasi terletak di kawasan pedalaman.

Disiarkan pada: May 4, 2016 @ 8:21am
d