mutakhir

Harapan buat 'pucuk baru'

Oleh Suraya Roslan

Petaling Jaya: Jika mahasiswa lain menghabiskan cuti hujung minggu dengan aktiviti harian, lain pula dengan sekumpulan penuntut Universiti Malaya (UM) ini yang memilih menyediakan kemudahan pendidikan tuisyen percuma kepada pelajar yang tidak tahu membaca di Pangsapuri Taman Medan Cahaya, di sini.

Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan UM Dr Zuraidah Abdullah berkata, projek dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Projek Iqra’ Semalaysia, Persatuan Penduduk Taman Medan dan UMCARES dikenali sebagai Kelas New Leaf (Pucuk Baru) memberi perhatian kepada murid serta pelajar sekolah rendah dan menengah berusia tujuh hingga 15 tahun yang lemah dalam penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

“Seramai 20 penuntut Universiti Malaya dari Fakulti Pendidikan, Pengajian Melayu serta Sastera dan Sains Sosial menjadi tenaga pengajar dalam membantu lebih 35 pelajar yang masih lemah dalam 3M.

“Hasilnya, 75 peratus daripada mereka berjaya membaca, menulis dan mengira selepas mengikuti kelas intensif selama tiga bulan yang diadakan setiap Jumaat dan Sabtu selama dua jam,” katanya kepada Harian Metro.

Zuraidah berkata, keciciran dalam kalangan pelajar miskin bandar adalah satu isu nasional berikutan masih ada antara pelajar sekolah gagal menguasai pengetahuan asas menyebabkan mereka tidak dapat mengikuti sistem pembelajaran sedia ada.

“Bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, ibu bapa tidak mampu untuk membiayai kelas tambahan di luar kerana pendapatan yang diperoleh hanya memadai untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Disebabkan itu, kami sebagai ahli akademik bertanggungjawab membantu mereka sebagai sistem sokongan untuk menyediakan pelajar tercicir dengan pendidikan asas dan pembinaan karakter yang lebih positif,” katanya.

Bagi penuntut Akademi Pengajian Melayu UM Muhammad Shamsul Amin Md Yusof, 23, program berkenaan baru tiga bulan berlangsung, namun memberi impak besar kerana ada antara pelajar menunjukkan peningkatan mendadak apabila sudah boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan menguasai 3M.

“Mereka mula menunjukkan minat tinggi kerana pendekatan guru muda mengajar berkemungkinan tidak sama dengan apa yang diterima di sekolah masing-masing.

“Kami lebih banyak berinteraksi dan memberikan mereka motivasi supaya berjaya dalam pelajaran selain menuntut kesabaran yang tinggi untuk mengendalikan pelajar yang kurang berminat dalam pelajaran,” katanya.

Pendapat sama turut dilontarkan ‘guru muda’ iaitu Muhammad Shafiq Yusof, 25, daripada Fakulti Pendidikan berikutan kebanyakan pelajar yang tercicir memerlukan pemerhatian khusus untuk mengukuhkan pengetahuan asas akademik mereka.

“Rata-rata mereka kurang berminat untuk belajar dan tidak mengetahui apa yang berlaku di dunia luar, di situlah kami memainkan peranan membantu sedikit demi sedikit supaya mereka dapat menguasai kemahiran asas akademik.

“Ini satu pengalaman berharga untuk kami sebelum memasuki alam pekerjaan berikutan mengajar pelajar yang keciciran memerlukan kesabaran tinggi,” katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2016 @ 8:39am
d