mutakhir

Tindakan Presiden Gafim tak kena pada masanya

Oleh Adam Salleh

“Bubar saja Gafim !” itu komen Datuk Freddie Fernandez berkaitan kontroversi Gafim (Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia) dengan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional). Tegas Presiden Karyawan Malaysia itu, persatuan lain harus berani ‘kayuh sendiri’ andai Gafim bubar, berbanding jika ada hanya merosakkan industri perfileman tanpa memahami motif sebenar penubuhan gabungan itu.

Presiden Profima (Persatuan Pekerja Filem Profesional Malaysia) Khir Mohd Noor pula di akhbar ini Jumaat lalu, mempertikaikan tindakan Presiden Gafim, Datuk Jurey Latiff Rosli seperti mahu duduk menjadi Ahli Lembaga Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional).

Tidak kurang yang kata tindakan mengejut Jurey menghantar surat kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Seri Dr Mohd Salleh Keruak yang mempersoalkan hala tuju Finas lebih cenderong mahu ‘merampas’ kerusi Ketua Pengarah Finas?

Sebagai tanda protes berikutan surat Jurey pada menteri yang disifatkan berbaur peribadi, lima persatuan; Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM), Persatuan Sinematografer Malaysia (MYSC) dan Persatuan Pos-Produksi & Animasi Malaysia (Postam) termasuk Profima sendiri membuat keputusan mengejut keluar dari badan induk itu.

Presiden Seniman Malaysia, Zed Zaidi pula ketika ditanya apakah tidak mengikut jejak persatuan lain keluar dari Gafim, beliau memberi komen ringkas “setia pada ketua”. Sebenarnya tahukah kita apa matlamat sebenar Gafim ditubuhkan pada 11 September 1985?

Presiden persatuan sekarang dan presiden Gen Y akan datang harus faham termasuklah Zed Zaidi hakikatnya siapa ketua hakiki? Sebagai Presiden Seniman dan presiden yang sewaktu dengannya, peranan mereka untuk kebajikan ahli masing-masing lebih penting berbanding Gafim yang ditubuhkan untuk menyelaraskan penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM).

Permulaan FFM 1 dan 2 yang dulunya disebut pesta diasaskan oleh EJA (Persatuan wartawan hiburan Malaysia). Sememangnya besar jasa wartawan hiburan ketika itu memerah keringat memartabatkan artis di tanah air sebelum festival filem diambil alih oleh Finas.

Berlaku pergolakan sesama persatuan dalam penggiliran penganjuran FFM, lalu di sinilah timbul cadangan Finas yang diterajui Datuk Zain Hamzah untuk menubuhkan Gafim dengan Jins Shamsuddin (Tan Sri) selaku Presiden dan Presiden EJA, Norshah Thamby setiausahanya.

Telitilah kenyataan Zain ini, “Gafim ditubuhkan atas cadangan Finas untuk sepakat merancang, mengurus dan melaksanakan secara profesional dan berwibawa (dignity) FFM yang hendaklah diadakan apabila ada tidak kurang daripada 10 filem diterbitkan tiap-tiap tahun.

“Dalam penganjuran FFM, Gafim sebagai pertubuhan yang didaftar di bawah Pendaftaran Pertubuhan boleh mengumpul dana dari syarikat perfileman atau swasta atau GLC atau individu setelah dimaklumkan kepada Finas (rujuk perlembagaan Gafim).

“Gafim diwujudkan untuk meringankan tanggungjawab Finas yang menjadi penganjur FFM di mana idea itu didorong oleh kejayaan EJA menganjurkan FFM pertama. Bagi permulaan Finas menyediakan peruntukan yang munasabah. Lembaga Pengarah Finas juga boleh meluluskan bantuan tahunan untuk menganjurkan FFM. Jika Gafim nak ganggu kerja Finas, katakan kepadanya “dia (Gafim) tiada hak!”

Ikut rekod Gafim menganjur FFM sejak diterajui Jurey agak kelam-kabut ketika berlangsungnya FFM24 pada 2011 yang disifatkan produser Raja Azmi, “festival kelakar.” Surat diberi Jurey pada Menteri KKMM seperti mahu mencampuri kerja Finas tidak kena pada masanya.

Sebabnya semacam ada tuah sejak Datuk Kamil Othman dilantik menjadi Ketua Pengarah Finas, sambutan penonton pada filem tempatan bertambah positif dengan mengambil kira empat filem ditayangkan pada tiga bulan pertama tahun ini kutipan mencecah lebih RM50 juta.

Harian Metro semalam melaporkan kalangan artis Afdlin Shauki, Lisa Surihani, Sharifah Amani, Syafiq Naswip dan Nadia Aqilah menyatakan sokongan pada Kamil dengan meletakan hastag #KamiSokongKamil dan #Kekalkan Kamil di laman sosial Instagram masing-masing.

Finas pula akan mengadakan sidang akhbar Maklumbalas Finas dan Gafim pada pagi ini (4 Mei) di Pawagam Mini P Ramlee di Kompleks Studio Merdeka, Hulu Klang. Lucu pula kelmarin pertemuan Kamil dan Jurey diaturkan di sebuah hotel untuk kedua-duanya berdamai.

Mudah pula Kamil yang baru kembali ke tanah air melapangkan masa menghadiri pertemuan itu. Sebagai Ketua Pengarah, ketegasan perlu apatah lagi ada pihak mempertikai kewibawaannya, pasti suasana menjadi lain jika Kamil tidak hadir pada pertemuan damai itu.

Pemimpin persatuan itu bukan saja dinilai ahli masing-masing bahkan masyarakat lalu janganlah pula ada yang menempelak apakah kontroversi Gafim dan Finas ini sandiwara atau ‘test market’ untuk seseorang muncul menjadi hero ? Barangkali juga si pendamai melihat Jurey sebagai pemimpin muda perlu ditarik ke pangkal jalan agar tidak terawang-awang membawa Gafim mengikut agendanya peribadi.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Disiarkan pada: May 4, 2016 @ 9:46am
d