mutakhir

Drebar pulang teksi

Oleh Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Sebanyak 80 peratus pemandu teksi sedia ada menyerahkan semula teksi kepada syarikat pengendali kerana mahu menukar kepada perkhidmatan Uber dan Grab sejak tiga bulan lalu.

Penasihat Big Blue Capital (M) Sdn Bhd Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, pemulangan itu menjejaskan lebih 60 syarikat teksi di semenanjung kerana mengalami kerugian serta berdepan risiko gulung tikar.

“Sejak Grab dan Uber diperkenalkan, ia mengganggu periuk nasi lebih 65,000 pemandu di bawah 67 syarikat teksi.

“Melihat kepada masalah itu, saya jamin syarikat teksi akan gulung tikar sebelum hujung tahun ini kerana kebanyakan pemandu tidak mahu lagi menyewa teksi dengan syarikat kerana mahu menyertai Uber atau Grab yang guna kereta sendiri,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, sewa setiap teksi adalah antara RM75 dan RM200 sehari bergantung kepada jenis kenderaan yang digunakan.

Katanya, masalah itu diburukkan lagi dengan cadangan e-hailing oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada bulan lalu di Kabinet kerana ia lebih menyerupai kepada aplikasi Uber dan Grab.

“Sistem e-hailing mirip kepada model perniagaan yang digunakan oleh Jakarta Blue Bird Taxi Company dan Dubai Taxi Corporation yang mana (sebahagian) operasi perniagaan tidak akan menggunakan meter.

“Sedangkan sejak Uber dan Grab beroperasi, pendapatan harian pemandu tidak lagi seperti dulu kerana hilang separuh daripada jumlah pendapatan, malah ia tidak cukup untuk tampung kos servis, sewa, minyak, gas dan gaji mereka,” katanya.

Berikutan itu, Shamsubahrin berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada menteri pengangkutan untuk membincangkan isu berkenaan pada awal April lalu.

Cadangan e-hailing yang dihantar oleh SPAD ke Kabinet bulan lalu disokong oleh Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) yang akan membolehkan servis perkongsian kenderaan dalam talian seperti Uber dan Grab beroperasi secara sah.

E-hailing menerapkan konsep perkongsian keuntungan atau jaminan peratusan pendapatan harian untuk pemandu teksi serta dianggap pertama di dunia dan akan mewujudkan lapangan persaingan antara pemandu Uber dan Grab dengan pemandu teksi konvensional untuk pengangkutan awam yang lebih cekap dan menawarkan harga lebih berpatutan.

Disiarkan pada: May 5, 2016 @ 7:09am
d