mutakhir

Richard akan dipanggil semula

Oleh Sarah Zulkifli

Kuala Lumpur: Adik kepada Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, Datuk Richard Dillan berkemungkinan akan dipanggil semula ke Mahkamah Tinggi di sini, bagi memberikan keterangan dalam kes pembunuhan abangnya itu, September tahun lalu.

Peguam Datuk N Sivananthan yang mewakili tertuduh pertama, Kolonel Dr R Kunaseegaran memohon mahkamah memanggil semula saksi pendakwaan itu selepas pihaknya mahu mengesahkan Richard menerima borang daftar kematian dan permit penguburan Kevin daripada Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, ketika perbicaraan hari pertama kes itu pada bulan lalu, Richard memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak ada menerima borang berkenaan dan pembelaan tidak menyedari mengenai borang itu sehinggalah pagi semalam.

“Saya memohon agar Richard dipanggil semula ke mahkamah bagi pemeriksaan semula dan permohonan ini dibuat mengikut Seksyen 51 (5) Akta Keterangan 1950,” katanya pada hari kesembilan perbicaraan kes bunuh itu.

Tiada bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berhubung hal itu dan Hakim Datuk Azman Abdullah kemudian membenarkan permohonan dibuat pihak pembelaan itu.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-15, Pakar Perubatan Forensik Jabatan Perubatan Forensik HKL, Dr Ahmad Hafizam Hasmi, 37, memaklumkan borang itu dikeluarkan pihaknya kepada waris Kevin, iaitu Richard.

WAN SHAHARUDDIN: Apa itu borang JPNLM02?

AHMAD HAFIZAM: Borang itu adalah borang mendaftarkan kematian dan permit menguburkan.

WAN SHAHARUDDIN: Apa tujuan borang itu?

AHMAD HAFIZAM: Borang itu diperlukan waris untuk mendaftarkan kematian seseorang dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan sijil kematian.

WAN SHAHARUDDIN: Dalam kes ini, adakah borang itu dikeluarkan kepada pewaris?

AHMAD HAFIZAM: Ya. Ada diberikan kepada pewaris.

WAN SHAHARUDDIN: Siapa waris itu?

AHMAD HAFIZAM: Waris yang diberikan adalah Richard.

WAN SHAHARUDDIN: Nama penuh?

AHMAD HAFIZAM: Richard Dillan Morais.

WAN SHAHARUDDIN: Bila dikeluarkan borang itu kepadanya?

AHMAD HAFIZAM: Saya menandatangani borang itu pada 22 Oktober 2015.

WAN SHAHARUDDIN: Adakah sebelum atau selepas menjalankan bedah siasat?

AHMAD HAFIZAM: Borang ini ditandatangani oleh saya selepas saya dan Dr Nurliza Abdullah menyiapkan laporan bedah siasat.

WAN SHAHARUDDIN: Ada dinyatakan sebab kematian?

AHMAD HAFIZAM: Sebab kematian adalah probable asphyxiation (suffocation) atau kelemasan udara.

Sementara itu, semasa pemeriksaan balas Sivananthan mengenai sama ada beliau pernah melihat sijil kematian Kevin, Dr Ahmad Hafizam berkata, beliau tidak ditunjukkan sijil kematian itu.

Dalam perkembangan lain, Dr Ahmad Hafizam turut menjelaskan penggunaan perkataan ‘probable’ (kemungkinan) digunakan bagi sebab kematian Kevin kerana keadaan mayat yang mengalami pereputan dan terdapat bukti perubatan yang jelas menunjukkan kelemasan udara berdasarkan konjesi pada muka serta kesan trauma pada badan mangsa yang berpadanan dengan benda tumpul seperti himpitan.

SIVANANTHAN: Setuju atau tidak, perkataan ‘kemungkinan’ itu bermaksud tidak pasti?

AHMAD HAFIZAM: Tidak setuju.

SIVANANTHAN: Jika kamu yakin dengan sebab kematian itu, mengapa tidak tulis asphyxiation (suffocation) atau kelemasan udara sahaja, tanpa perkataan ‘kemungkinan’?

AHMAD HAFIZAM: Seperti yang dikatakan sebelum ini, mayat yang diperiksa itu bukanlah mayat segar.

Pada 27 Januari lalu, enam lelaki, G Gunasekaran, 48, R Dinishwaran, 24, A K Thinesh Kumar, 23, M Vishwanath, 26, S Nimalan, 23, dan S Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September, 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Mereka berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Seorang lagi tertuduh, Kunaseegaran, 53, yang juga pakar patologi tentera mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin.

Disiarkan pada: May 5, 2016 @ 10:09am
d