mutakhir

Biasa 'dimanjai' dengan rotan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Pada usia kecil, kebolehannya mengaji terserlah lantas bapanya segera meminta guru mengaji al-Quran turut mengajarnya bertaranum.

Bermula dari situlah bakat Muhamad Husaini Mahmur, 24, diasah selain dorongan ibu bapa, Mahmur Latif, 54, dan Asmah Mohd Zain, 52, supaya dia mengikuti kelas taranum di seluruh negeri.

Umpama melentur buluh biarlah daripada rebung dan berkat kesabaran serta ketekunan dalam mendalami ilmu berkaitan al-Quran, Muhamad Husaini berjaya meraih kejayaan dalam beberapa pertandingan disertai sebelum ini.

Malah, untuk berjaya, seseorang perlu melalui keperitan dan bagi Muhamad Husaini, hukuman dirotan atau dimarahi sudah biasa buatnya.

Ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Ixora, Senawang, dia mengakui pada awalnya, bapanya memaksa belajar mengaji al-Quran dengan guru agama yang tinggal berhampiran kediaman mereka.

Katanya, bapanya sudah melihat kebolehan yang ada lalu meminta guru berkenaan mengajarnya dengan lebih mendalam.

“Saya mula menguasai taj wid dan taranum dalam pengajian al-Quran ketika berusia 10 tahun. Ketika di tingkatan tiga, saya mengikuti tilawah al-Quran dan taranum dianjurkan di peringkat sekolah dan negeri.

“Walaupun tidak dinobatkan sebagai juara, tetapi saya menimba ilmu dan pengalaman yang baru. Bagi saya, untuk bertaranum dengan baik, bukan boleh dipelajari setahun dua sebaliknya memakan masa sekurang-kurangnya lima tahun.

“Malah, kita perlu menguasai tajwid terlebih dulu dan menimba ilmu dengan guru mengaji berbeza,” katanya yang juga penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Muhamad Husaini mengharumkan nama negara apabila muncul juara Kejohanan Tilawah al-Quran Peringkat ASEAN 2016 di Bangkok, Thailand kelmarin.

Kejayaan Muhamad Husaini meletakkan Malaysia selaku juara tiga kali berturut-turut.

Kejayaan itu membolehkan anak kelahiran Senawang ini membawa pulang wang tunai RM5,634 dan piala.

Disiarkan pada: May 5, 2016 @ 11:01am
d