mutakhir

Jalin kerjasama akademik

Oleh Amirol Abu Bakar

Bangi: Empat universiti di Iran bakal mengadakan kerjasama dengan beberapa universiti awam dan universiti swasta di Malaysia dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Universiti terbabit ialah Universiti Tehran, Universiti Sains Perubatan Tehran, Universiti Teknologi Sharif dan Universiti Amirkabir.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Ir Dr Riza Atiq Abdullah Rahmat berkata, universiti berkenaan berminat mengadakan kerjasama apabila melihat potensi universiti di Malaysia dalam bidang itu.

“Sebelum ini, UKM sudah menjalinkan pelbagai kerjasama akademik dengan Iran sejak tahun 2007, tetapi kali ini kerjasama yang lebih besar kerana membabitkan beberapa universiti awam dan swasta terkemuka di negara kita.

“Antara universiti tempatan lain yang menjadi tumpuan mereka ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan beberapa universiti swasta.

“Kerjasama itu juga membabitkan pelbagai bidang seperti sains, kejuruteraan, pengurusan bagi meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di kedua-dua negara,” katanya dalam program ‘Propelling Research Synergy in Higher Education: Malaysia and Iran Academic Meets’ di Pusat Siswazah UKM, di sini, semalam.

Riza Atiq berkata, mereka juga ingin meningkatkan penerbitan jurnal apabila mengadakan kerjasama nanti supaya dapat dijadikan rujukan kepada penyelidik yang lain.

“Buat masa ini, jurnal yang dihasilkan penyelidik dari Malaysia memuaskan, tetapi agak kurang dari segi penerbitannya,” katanya.

“Jadi, saya berharap dengan adanya kerjasama seperti ini, kedua-dua belah pihak dapat memanfaatkan peluang yang ada demi meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di negara masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Kaunselor Saintifik dan Pengarah Pelajar Iran di Asia Timur Dr Abbas Ghanbari Baghestan berkata, seramai 5,000 pelajar Iran belajar di Malaysia, termasuklah 280 orang di UKM dalam pelbagai bidang.

“Berdasarkan kajian ke atas 500 pelajar yang dipilih secara rawak, setiap pelajar mempunyai tiga hingga lima kertas kajian yang diterbitkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Justeru, pihak kami mempunyai keupayaan untuk mengadakan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pertukaran pelajar untuk memberikan manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2016 @ 8:54am
d