mutakhir

Alam fantasi

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Iskandar Puteri: Jika anda peminat filem Star Wars, pasti anda pernah membayangkan kehidupan seperti watak dalam filem itu di alam realiti dan pasti gambaran itu sukar dizahirkan apatah lagi jika ingin berkongsi minat itu bersama anak serta keluarga tersayang.

Usah risau kerana taman tema bertemakan LEGO pertama di Asia, LEGOLAND Malaysia Resort berbesar hati menyediakan keriangan untuk peminat filem epik itu sempena Hari LEGO Star Wars sepanjang bulan ini.

Dengan tarikan utamanya iaitu replika LEGO Millennium Falcon terbesar di dunia yang disiapkan dalam masa tiga hari, ia menjadi tatapan pengunjung LEGOLAND Malaysia Resort di sini.

Replika kapal angkasa yang terkenal dalam filem Star Wars itu dihasilkan pasangan bapa dan anak, yang juga Master LEGO, Dan Steininger dan Chris Steininger yang diterbangkan khas dari Amerika Syarikat.

Ia dibina menggunakan lebih 250,000 bata (brick) LEGO dan mendapat sentuhan pengunjung LEGOLAND sama ada dewasa mahu pun kanak-kanak yang membantu memasang bata LEGO itu bermula 30 April lalu.

Pengurus Besar LEGOLAND Malaysia Resort Mark Germyn berkata, bukan saja dihasilkan pasangan anak beranak malah kewujudan replika Millennium Falcon terbesar itu mampu menyatukan semua keluarga yang berkunjung apabila turut serta memasang bata LEGO berkenaan.

“Replika LEGO Millennium Falcon ini menggunakan khidmat 100 tenaga kerja daripada kalangan pengunjung LEGOLAND.

“Selain sejarah yang tercipta, memori penghasilannya berharga,” katanya pada acara meletakkan bata terakhir pada replika LEGO Millennium Falcon itu, di sini.

Mark berkata, replika berukuran 4.8 meter panjang dan 3.6 meter lebar itu .diletakkan sepanjang bulan ini di taman tema itu selain bakal menyusul dua lagi replika LEGO TIE Fighters yang dibina pada hari ini dan esok.

“Hari LEGO Star Wars Mei ini mewujudkan banyak keseronokan dan kami gembira untuk menyediakan satu replika terbesar di dunia pada tahun ini.

“Terima kasih atas kerjasama dengan The LEGO Group dan kami berharap membawa sesuatu yang lebih besar dan baik untuk anda pada tahun yang akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran LEGOLAND Malaysia Resort Thila Munusamy berkata, pelbagai aktiviti menarik disediakan bagi mewujudkan kelainan kepada pengunjung setia LEGOLAND kali ini.

“Selain replika kapal Star Wars terbesar di dunia ini, kita turut menyediakan aktiviti lain seperti ‘Imperial March’ dengan mempamerkan 90 kostum daripada 501st Legion dalam pelbagai karakter filem berkenaan.

“Pelbagai pertandingan juga diadakan termasuk ‘My Own Creation’ (MOC) yang boleh disertai peminat Star Wars dari Hong Kong, Taiwan, Indonesia, Singapura dan sudah pastinya Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang bulan ini, peminat Star Wars boleh membina dan membawa pulang replika mini Millennium Falcon pada setiap hari minggu.

Disiarkan pada: May 7, 2016 @ 5:08am
d