mutakhir

'Viral itu tak benar'

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Subang Jaya: Penduduk sekitar Pangsapuri Lagoon Perdana, gempar susulan viral menunjukkan gambar sekumpulan lelaki Afrika menyeret seorang wanita tempatan hingga timbul dakwaan mangsa diculik sebelum diperkosa.

Bagaimanapun, tanda tanya berhubung gambar itu terjawab apabila seorang wanita tampil membuat laporan polis menafikan dia diculik dan diperkosa tiga lelaki warga Afrika di pangsapuri itu, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, wanita berusia 44 tahun itu membuat laporan polis menafikan kejadian selepas gambarnya tersebar meluas.

Menurutnya, tiga lelaki warga Afrika terbabit sebaliknya hanya membantu dia yang dalam keadaan mabuk pulang ke rumah.

“Gambar yang viral di Facebook disebarkan seorang individu itu adalah tidak benar.

“Wanita terbabit sudah hadir membuat laporan polis untuk membersihkan nama ketiga-tiga lelaki warga Afrika terbabit. Salah seorang daripada lelaki itu adalah teman lelakinya,” katanya.

Mohammad Azlin berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas pengadu menghadiri majlis hari jadi di sebuah premis di Lagoon Perdana.

“Wanita itu adalah warga Filipina dan bekerja di sekitar daerah ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2016 @ 5:39am
d