mutakhir

Tiru bacaan berlagu

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Keupayaan qari dan qariah Malaysia melontarkan bacaan al- Quran dengan alunan taranum kini mula menjadi ikutan sebahagian besar peserta luar negara yang mengambil bahagian dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran (MTHQA) Peringkat Kebangsaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merangkap Pengerusi Jemaah Hakim MTHQA Peringkat Antarabangsa kali ke-58, Datuk Othman Mustapha berkata, beliau melihat ia adalah satu perkembangan lain apabila kebolehan tempatan menjadi ikutan mereka, sekali gus meningkatkan kualiti bacaan masing-masing.

Katanya, beliau juga kagum dengan kesungguhan sebahagian peserta yang berusaha mempelajari alunan bacaan itu dengan mendengarnya melalui kaset dan cakera padat (CD) daripada qari dan qariah di Malaysia.

“Ini satu perkembangan baik hasil daripada penganjuran majlis tilawah ini di negara kita.

“Perbezaan ketara dapat dilihat antara bacaan peserta dulu dan sekarang yang mana kebanyakannya mula meniru bacaan berlagu.

“Saya difahamkan menerusi laporan media, mereka ini mengumpul kaset dan CD untuk belajar mengalunkan bacaan berlagu,” katanya ketika ditemui, semalam.

MTHQA dihakimi 15 orang dari pelbagai negara dan ia dinilai daripada aspek tajwid, fasohah, taranum dan suara.

Disiarkan pada: May 7, 2016 @ 6:07am
d