mutakhir

Usah kaitkan politik semasa

Oleh myMetro

Kuching: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mahu nahas helikopter di Sebuyau, kelmarin dikaitkan dengan situasi politik semasa biarpun rakyat Sarawak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke- 11 hari ini.

Beliau berkata, tragedi yang menimpa enam penumpang helikopter Eurocopter A350 itu termasuk juruterbangnya warga Filipina adalah satu kemalangan yang tidak terduga.

“Walaupun kemalangan berlaku menjelang pilihan raya yang berlangsung esok (hari ini), ia tak beri kesan kepada pilihan raya dan tiada kena mengena dengan Barisan Nasional (BN).

“Perkara paling penting ketika ini, proses mencari dan menyelamat mangsa serta menyiasat punca sebenar kejadian,” katanya di Menara dan Pusat Kawalan Trafik Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Terlebih dulu, sebaik tiba di pejabat DCA, Najib diberi taklimat tertutup oleh wakil DCA mengenai kejadian yang berlaku dan perkembangan lanjut mengenai tragedi itu.

Perdana Menteri berkata, pasukan penyelamat dijangka berdepan cabaran berikutan lokasi nahas berhampiran Sungai Batang Lupar yang sangat luas.

Bagaimanapun, katanya, semua aset yang diperlukan akan digunakan semaksimum mungkin bagi mengesan kerangka utama helikopter dan mangsa.

“Setakat ini kami temui kerusi, bilah kipas, pintu dan dinding pesawat. Kita teruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar nahas,” katanya yang tidak boleh membuat rumusan mengenai punca kejadian itu kerana di bawah bidang kuasa DCA.

Disiarkan pada: May 7, 2016 @ 6:17am
d