mutakhir

Balik rumah

Oleh Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: “Saya bersyukur kembali ke rumah keluarga selepas empat bulan kediaman dihempap pokok besar dan semua ini atas usaha murni pihak terbabit membantu kami,” kata penjual nasi lemak Nahar Amin, 34, dari Kampung Tanjung Langsat, di sini.

Nahar berkata, kejadian berlaku pada pertengahan Disember tahun lalu menyebabkan sebahagian rumah termasuk ruang tamu serta dapur rumah diduduki keluarganya rosak akibat dihempap pokok besar berusia lebih 30 tahun.

Menurutnya, akibat kejadian itu mereka sekeluarga termasuk isteri Siti Aisyah Baharudin, 31, bersama dua anak berusia lima dan enam tahun meninggalkan rumah berkenaan dan menumpang di balai raya.

Katanya, ibu dan bapanya yang tinggal bersamanya pula menghuni sementara di kediaman kakaknya di Taman Kota Masai.

“Kami bernasib baik kerana ketika kejadian, saya, isteri dan dua anak berada di dalam bilik manakala ibu bapa keluar.

“Sejak kejadian itu, kami dibenar menumpang teduh di balai raya hasil keprihatinan penduduk kampung,” katanya.

Katanya, mereka sekeluarga bersyukur apabila ada pihak membantu membaik pulih kediaman baru-baru ini dan dapat kembali semula ke rumah.

Nahar berkata, dalam kejadian berkenaan keluarganya menanggung kerugian RM15,000.

Sementara itu, sukarelawan Mohd Khairul Azlan Sulong berkata, 30 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergotong-royong membaik pulih kediaman.

Ia termasuk wakil dari Majlis Belia Daerah Johor Bahru, Skuad Belia Prihatin 4B kawasan Pasir Gudang, Yayasan Pasir Gudang, Pertubuhan Kelopak Merah dan Kelab Pemilik Wira Malaysia.

Disiarkan pada: May 8, 2016 @ 5:35am
d