mutakhir

10 cemas perahu dinaiki karam

Kanowit: Seramai 10 pekerja kontrak warga China berdepan detik cemas apabila perahu panjang yang dinaiki karam dalam kejadian di Sungai Kanowit, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang, 10 pekerja kontrak pemasangan menara telekomunikasi berusia 18 hingga 47 tahun dalam perjalanan dari pekan Kanowit ke Pangkalan Majau, di sini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, perahu panjang yang dinaiki mereka karam apabila dipukul ombak dari arus bot berhampiran.

“Perahu panjang yang dinaiki 11 penumpang termasuk seorang pemandu itu terlebih muatan menyebabkan ia mudah karam dan dimasuki air.

“Mereka bernasib baik apabila masing-masing berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai,” katanya.

Farhan berkata, bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai berhubung kejadian itu pada jam 2.13 petang.

Katanya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati sebuah perahu panjang dipenuhi air berada di tepi pangkalan. Semua mangsa dan pemandu perahu panjang berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2016 @ 5:10am
d