mutakhir

Menu RM1

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Tumpat: Percayakah anda di zaman kenaikan kos bahan mentah dan harga barang yang mahal, masih ada peniaga menjual nasi berlauk pada harga RM1 sepinggan sama seperti tahun 80-an dan 90-an dahulu.

Namun begitu, di Kelantan masih ada kedai menawarkan nasi pada harga begitu dan orang ramai boleh mendapatkannya di kedai kopi Pak Yeh terletak di Kampung Bendang Kerian, Berangan di sini.

Pemiliknya, Pak Yeh atau nama sebenarnya, Idris Awang, 69, berkata, walaupun nasi di kedainya dijual pada harga RM1, dia mengakui masih mampu mengaut keuntungan daripada hasil jualan terbabit.

Katanya, kedainya dibuka seawal jam 7.30 pagi mendapat tumpuan daripada pelbagai lapisan masyarakat terutamanya daripada penduduk sekitar dan pelajar.

“Saya berniaga sudah melebihi 30 tahun dan pada awal perniagaan nasi berlauk yang saya jual hanya berharga 30 sen sepinggan untuk dua pilihan lauk iaitu gulai ayam dan gulai ikan tongkol.

“Sejak daripada itu, harga nasi dijual dinaikkan beberapa kali berikutan peningkatan kos bahan mentah dan sehingga hari ini, saya masih kekalkan nasi berlauk di kedai ini pada harga RM1,” katanya ketika ditemui di kedainya di sini semalam.

Beliau berkata, selain harga nasi berlauk, dia juga menjual kuih muih pada harga RM1 untuk empat biji dan juga secawan teh o pada harga 60 sen serta teh dengan harga 80 sen.

Disiarkan pada: May 9, 2016 @ 5:11am
d