mutakhir

Tolak sampai balai [METROTV]

Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: Lebih 200 penunggang motosikal gagal meloloskan diri selepas dikepung polis dalam Op Samseng Jalanan di Dataran 1Malaysia, Klebang, di sini, petang kelmarin.

Mereka diarahkan menolak motosikal masing-masing sejauh satu kilometer bagi menjalani pemeriksaan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Kumpulan itu dipercayai berkumpul di kawasan terbabit sebelum menunggang secara melulu dan merbahaya dengan aksi mengangkat tayar hadapan dan belakang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, operasi dijalankan selama lima jam bermula jam 5 petang bertujuan membanteras aktiviti samseng jalanan.

Beliau berkata, pihaknya menutup laluan utama dan mengepung kawasan Dataran 1Malaysia menyebabkan penunggang gagal meloloskan diri.

“Dalam operasi itu, sebanyak 205 motosikal, 15 kereta dan dua van ditahan bagi menjalani pemeriksaan. Kami mengeluarkan 109 saman atas pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan dikesan adalah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insuran serta melakukan pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya.

Mohd Kamal berkata, pihaknya turut menyita lima motosikal dan menahan tujuh lelaki apabila semakan mendapati mereka mempunyai waran tangkap atas kesalahan lalu lintas lampau.

Menurutnya, dalam operasi sama, pihaknya mengesan sebuah Honda EX5 dipercayai dicuri.

“Motosikal berkenaan ditunggang remaja lelaki berusia 17 tahun, dia ditahan bagi tindakan susulan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Selain itu, dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 dan 17 tahun turut ditahan selepas keputusan awal ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.

Mereka terbabit disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2016 @ 7:18am
d