mutakhir

Pasar 2.5 metrik tan kupang siap proses setiap bulan

Johor Bahru: Sebanyak 2.5 metrik tan kupang yang siap diproses dipasarkan ke Melaka, Kuala Lumpur, Singapura dan sekitar bandar raya ini, setiap bulan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Johor Selatan Azli Aziz berkata, pemprosesan termasuk pencucian, merebus, mengopek dan pembungkusan dilakukan sepenuhnya ahli persatuan termasuk suri rumah yang juga isteri nelayan tempatan.

“Johor adalah pengeluar kupang terbesar di negara ini dan kian mendapat permintaan memberangsangkan.

“Kami bertuah kerana mendapat bantuan pelbagai agensi kerajaan untuk membangunkan industri kupang di sekitar perairan di negeri ini termasuk Selat Tebrau.

“Kami menjual sebanyak RM5 untuk setengah kilogram kupang yang siap diproses dan RM10 untuk sekilogram kupang yang sama dan dipasarkan ke sekitar Melaka, Kuala Lumpur, Singapura dan sekitar bandar raya ini,” katanya.

Beliau bersyukur kerana nasib nelayan mendapat pembelaan pihak berkuasa sehingga mereka dapat berdikari melalui pelbagai bantuan yang disalurkan.

“Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA) banyak memberi bantuan termasuk peruntukan kepada 2,333 nelayan di bawah persatuan.

“Sebuah pusat pengumpulan dan pemprosesan kupang bernilai lebih RM420,000 dibina di Kampung Pasir Gudang Baru sejak setahun lalu melalui peruntukan daripada MARDI.

“LKIM turut memperuntukkan RM200,000 bagi membina sebuah pasar nelayan di kampung sama yang bermatlamat menjadi pusat peraih ikan daripada nelayan di sekitar Selat Tebrau,” katanya.

Beliau berkata, tidak cukup dengan itu, ahli persatuan menerima subsidi minyak diesel dan elaun sara hidup bernilai RM300 sebulan selain pemberian pinjaman tanpa faedah untuk membeli kelengkapan nelayan.

Disiarkan pada: May 10, 2016 @ 7:23am
d